BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya. Saya tinggal di asrama dan saya dari semester 1 hingga 4(kini) tinggal dengan roommate yang sama. Roommate saya ni orangnya agak bebas sikit, dia banyak habiskan masa tengok movie dan drama, minat artis-artis bukan islam, dan jarang solat. Tapi, saya rapat dengan dia sebab kami sekelas, dan dia juga seorang yang ramah dan prihatin. Jujur, saya kurang selesa sikit dengan setengah sikap dia. Dia jenis open saja dengan saya, cerita pasal apa yang dia buat macamtu. Dia juga ada hobi, suka tulis novel, untuk bacaan dia sendiri, dan dia pernah tunjuk kat saya. Kebanyakannya benda dia tulis tu, benda-benda tak elok dan ada unsur dewasa, pergaulan bebas, alkohol, dan juga lgbt. Saya tak pasti sama ada pihak tuan tahu mengenai ni, tapi ramai remaja kat negara ni sekarang suka tonton cerita genre "bl/gl", yaitu cerita yang ada unsur gay dan lesbian. Jadi kawan saya ni terjebak juga dengan benda ni. Jadi, ada beberapa novel yang dia tulis genre macam tu, dan bila saya tanya dia, tak rasa berdosa ke tulis benda macam tu? Dan dia kata dia tau salah dalam islam, jadi dia hanya bayangkan karakter-karakter tu bukan islam, macam dalam drama yang dia tengok. Soalan saya, boleh jatuh murtad ke, buat novel lepastu buat karakter dalam novel tu bukan islam, tapi dalam masa yang sama kawan saya ni masih yakin dan percaya kepada islam?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Menulis karya yang mengandungi perkara seperti pergaulan bebas, alkohol, dan unsur LGBT adalah dilarang dalam Islam, kerana ia secara tidak langsung mempromosikan atau menormalisasikan  perkara yang bercanggah dengan syariat. Namun, tidak semestinya perbuatan tersebut menjadikan seseorang murtad, kecuali jika dia menulis dengan niat untuk menentang hukum Islam atau memperlekehkan agama.

Begitu juga dengan mencipta watak bukan Islam dalam sesuatu karya cerita,  tidak semestinya menjadikan seseorang itu murtad, selagi dia tidak berniat menafikan keimanan atau syariat Islam secara mutlak. Namun, masalahnya adalah jika karya tersebut mempromosikan nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam, seperti memuliakan perkara dosa atau memperindahkan perkara haram ia boleh membawa kepada dosa besar dan kesan buruk kepada pembaca. Selagi seseorang itu masih percaya kepada Allah SWT, Rasulullah SAW , dan rukun-rukun iman, dia tetap seorang Muslim. Namun, dosa-dosa besar seperti mempromosikan maksiat memerlukan taubat kepada Allah SWT.

Untuk itu, kawan tersebut tidaklah murtad. akan tetapi, beberapa perlakuan yang dilakukannya boleh dikira berdosa. Contohnya seperti membaca dan menulis novel yang ada unsur gay dan lesbian. Ini kerana perbuatan ini dikira meredai maksiat tersebut. Apa yang penting adalah usaha kita untuk membimbing dan menyedarkan dia dengan cara yang lembut dan bijaksana. Semoga Allah memberikan hidayah kepada kawan tersebut dan mempermudahkan usaha anda untuk membantu dia ke jalan yang lebih baik.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 19

message user image