Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya. Saya dulu waktu sekolah menengah bukanlah seorang yang alim, sampai sekarang pun bukan, tapi sekarang saya cuba untuk buang tabiat-tabiat buruk saya. Jadi, saya harap pihak mufti boleh jawab soalan saya dan beri nasihat.
1. Saya mula tinggal solat waktu pkp, sebab waktu tu sentiasa di rumah, sebelumnya saya pernah juga tinggal solat, tapi bukanlah sampai setiap masa tinggal. Lepas sudah terbiasa tinggal, saya jadi malas solat dan habiskan masa main game dan scroll social media saja. Sebenarnya, benda tu effect saya sampai sekarang. Jujur saya nak sangat buang perasaan malas tu, dan sekarang saya cuba untuk tak tinggal solat, tapi kadang solat saya pun last minit. Saya tak tahu macam mana nak buang rasa malas tu.
2. Saya dulu pernah apply untuk biasiswa sebab result trial spm saya bagus, tapi dulu saya meniru untuk beberapa subjek. Dulu waktu apply saya just fikir "takpe kalau aku tak tiru pun aku still dapat 6A(syarat minimum untuk apply biasiswa tersebut). Tapi dah berapa tahun lepas tu, baru saya ingat. Cikgu saya dah bagi soalan bocor/soalan yang seakan sama dan saya juga dah tau tajuk apa keluar untuk exam. Saya dah guna habis duit tu. Jadi selama ni saya makan duit haram ke?
3. Banyak dosa saya yang dulu buatkan saya risau yang sebenarnya saya dah jadi murtad ataupun buat syirik. Contohnya saya kadang dengar dan nyanyi lagu yang ada unsur kufur dan syirik, sebab saya fikir lagu saja. Lepastu saya tak pasti, sama ada saya memang betul percaya statement seseorang ni, tapi benda tu benda syirik. Lepastu kadang saya bayangkan diri saya dan karakter lain, tapi disebabkan saya rasa berdosa benda saya bayangkan tu, saya just anggap karakter-karakter tu bukan islam, ataupun saya malas fikir pasal agama apa karakter-karakter tu sebab saya cuma nak bayangkan saja benda tak elok macam tu. Saya rasa berdosa sangat. Walau dah mengucap balik, saya takut, macam mana kalau sebab saya makan duit haram dan tak mampu pulangkan balik, syahadah saya diterima atau tak? Mohon nasihat dan jawapan dari pihak mufti, terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Rasa malas untuk solat adalah ujian yang ramai orang hadapi, dan tidak mustahil untuk mengatasinya Salah satu cara untuk mengbuang rasa malas beribadah terutamanya ibadah fardu adalah dengan sentiasa bergaul dengan orang-orang yang baik dan soleh. Dengan berkawan dengan orang soleh akan sentiasa mengingatkan kita untuk solat. Sentiasalah dapatkan nasihat daripada orang-orang soleh serta berusaha untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.
2. Duit yang telah diterima tidaklah haram. Akan tetapi ditakuti rezeki yang diterima itu tidak diberkati Allah SWT kerana mendapatkannya dengan cara yang tidak jujur. Oleh itu, bertaubatlah dan banyakkan beristighfar kepada Allah SWT agar rezeki yang diterima diberkati oleh-Nya.
3. Membayangkan perkara-perkara tahyul atau khayalan tidaklah membuatkan seseorang itu terus kufur dan murtad. Ini kerana ia melibatkan pegangan dan kepercayaan kita. Selagi mana kita beriman kepada Allah SWT dan Rasulnya dan mengikuti ajaran Islam, maka kita masih lagi Islam. Dalam perkara nyanyian lagu yang mengandungi elemen-elemen kufur atau syirik, perkara ini memang boleh menjadi dosa jika dinyanyikan dengan niat mengagungkan atau mempercayai mesej tersebut. Namun, jika ia dilakukan tanpa niat sedemikian dan sekadar kelalaian, ia tetap mengundang dosa tetapi tidak membawa kepada murtad. Sama juga dengan bayangan karakter—jika tidak ada niat untuk menentang agama atau syariat, ia hanya dosa dan memerlukan taubat kepada Allah SWT.
Daripada keseluruhan luahan yang anda rasa dan dinukilkan dalam persoalan ini adalah tanda hati kita masih ingin mendekati Allah SWT. Itu adalah hidayah yang wajar kita rebut. Jangan biarkan syaitan membuatkan kita putus asa. Fokus kepada usaha untuk memperbaiki diri secara perlahan dan konsisten, kerana Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kita dan memberikan ketenangan untuk terus istiqamah.
Sekian, terima kasih.