Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Sebelum ini suami saya telah berlaku curang iaitu berbalas mesej dengan niat untuk memikat dan pengakhiran kepada perbincangan kami adalah "jika saya mesej lagi, kita cerai". Menurut suami, ketika ini dia tidak berniat untuk menceraikan, tetapi bercakap begitu atas sebab paksaan saya. Kami bersetuju dia patut berhenti berbalas mesej dengan sebarang perempuan atas niat untuk memikat.
Selepas beberapa bulan, saya mendapat tahu dia berbalas mesej dengan wanita lain, tapi tidak berbaur memikat dan kemudian juga, ada petanda dia memadam mesej secara harian dengan wanita. Selepas sesi bersemuka, dia menjawab mesej yang dipadam semua berkaitan kerja. Untuk kejadian terbaru, tiada tanda atau bukti dia berbalas mesej dengan niat untuk memikat.
Jadi saya mahu bertanya, adakah telah jatuh lafaz taklik itu?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ucapan suami kepada isteri: "jika saya mesej lagi, kita cerai" adalah berbentuk khabari atau perkhabaran, atau hasrat, atau juga janji, iaitu seandainya suami ada menghantar mesej lagi maka mereka akan bercerai, dengan maksud suami perlu melafazkan cerai sekiranya ingin berbuat sedemikian.
Untuk kepastian sila rujuk segera ke Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat dan Mahkamah Syariah sebagai pihak yang berbidangkuasa di dalam memutuskan suatu lafaz itu boleh membawa kepada talak taklik atau tidak.
Sekian, terima kasih.