Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...
Dengan ringkasnya saya ingin bertanyakan tentang KHUNSA; Saya mempunyai kawan sekian dan beliau sudah berkahwin serta mempunyai cahaya mata... Disini saya cuba jelaskan dengan lebih terperinci, Beliau KHUNSA yang berkahwin dengan lelaki normal dan mereka berdua bukan beragama Islam. Beliau baru baru ini meluahkan hasrat kepada saya bahawa beliau serta pasangannya ingin memeluk Agama Islam dan bertanyakan kepada saya beberapa perkara yang agak sukar untuk saya memberikannya jawapan.
Pertanyaannya seperti begini:
Beliau pernah mendengarkan beberapa perkara berkaitan dengan KHUNSA... Ada yang berkata bahawa seseorang KHUNSA tidak boleh berkahwin menurut Agama Islam. Beliau juga pernah mendengarkan beberapa perkara lainnya yang berkaitan seseorang KHUNSA tidak boleh solat kerana jantinanya.
Saya inginkan maklumbalas yang jelas dan senang difahami dan ada selitkan hadith atau rujukan lain seangkatannya supaya saya sendiri boleh fahami dan menjelaskan kepada mereka bersama sama.
Apakah benar seseorang KHUNSA yang beragama lain boleh memeluk Agama Islam? Jika boleh, bagaimana cara untuk mereka mengerjakan solat?
Apakah benar seseorang KHUNSA di Agama Islam tidak boleh berkahwin? Jika benar... Perlukah seseorang KHUNSA yang telah berkahwin itu bercerai?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, seseorang khunsa boleh memeluk Islam seperti individu lain kerana Islam adalah agama rahmat untuk semua manusia tanpa mengira keadaan fizikal atau biologi seseorang. Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat ke 19:
Maksudnya: Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam.
Di samping itu, dia juga diwajibkan menunaikan solat bergantung kepada keadaan mereka:
Adapun dalam isu perkahwinan pula, jika jantinanya jelas sebagai lelaki atau wanita maka perkahwinannya dengan pasangan berlainan jantina adalah sah. Namun, jika dia daripada jenis khunsa musykil (tidak dapat ditentukan jantinanya), maka perkahwinan tidak dibenarkan kerana hukum Islam memerlukan kepastian jantina. Meskipun begitu, berdasarkan fatwa diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989, membincangkan kedudukan mak nyah dalam Islam menyatakan, seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu dilahirkan dengan dua alat kemaluan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan sesuai. Justeru bagi seseorang khunsa musykil dibolehkan berkahwin selepas melakukan pembedahan kerana sudah jelas status jantinanya.
Berdasarkan kepada kenyataan yang diberikan bahawa pasangan tersebut telah pun mempunyai cahaya mata, maka ini jelas bahawa beliau cenderung kepada jantina sebagai seorang wanita. Semoga Allah mudahkan segala urusan beliau dan terus mendapat hidayah daripada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.