Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.,
Saya ada peperiksaan pada 3 Mac 2025 nanti pada pukul 1:30 tengah hari dan mengambil masa selama 3 jam 10 minit. Bermakna peperiksaan akan tamat pada pukul 4:40. Saya perlukan penjelasan, bagaimana saya boleh melaksanakan solat zuhur dalam situasi seperti ini. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sesiapa yang menghadapi keadaan seumpama ini hendaklah berusaha sedaya upaya untuk keluar sebentar daripada dewan peperiksaan dan menunaikan solat. Sebagai hamba yang telah diamanahkan kewajipan solat maka laksanakanlah ia dengan sebaiknya dan penuh rasa tanggungjawab.
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat kekangan dan sukar untuk meninggalkan dewan ketika peperiksaan berlangsung, maka diharuskan kepada pelajar untuk menunaikan solat fardhu Zohor dan Asar secara jamak takhir, iaitu dengan menghimpunkan Zohor dan Asar dalam waktu Asar tanpa mengurangkan bilangan rakaat (jamak tamam).
Terdapat sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Muslim RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Telah solat Rasulullah SAW Zohor dan Asar secara jamak di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis ini, ulama berpandangan bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran tertentu seperti sakit yang menyusahkan, kesempitan waktu dan seumpamanya.
Sekian, terima kasih.