Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Kami berniaga sama2.makam minum duit, sewa rumah,api air semua sama2 bayar.perbelanjaan peribadi,duit sendiri,ubat ubatan dan keperluan duit sendiri.Bila sy minta duit dia utk beli keperluan diri, pasti sy di marah hingga pernah dipukul.Kadang rasa macam hidup sendiri pula.keluargapun dah masuk campur, namun tiada kesudahan.
3 tahun sy bersabar dan bertahan memendam rasa.hidup mcm, xde tujuan dlm perkahwinan.sy buntu sgt. Duit dia x tahu ke mana. Bila di tegur, melenting.solat x pernah, tiada pun tugas suami utk bimbing isteri.hnya tido bersama, kerja bersama.pagi keje balik malam, tido dan seterusnya begitu.
Sy terniat utk lari dan bawa diri. Sb dia x kan lepaskan saya. Dia narssistik.berdosakah saya jika saya bawa diri sementara waktu agar dia sedar diri dan sy boleh mencari kebenaran tujuan perkahwinan ini.sy belum ada anak kerana gugur. Harap ustat bg nasihat .sy tertekan sgt
Jawapan
Kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk-pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.
Islam mengajar agar suami sentiasa menggauli isteri dengan cara yang sangat baik. Firman Allah SWT dalam Surah An NIsa ayat ke 19 :
Yang maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Ayat ini mengisyaratkan tentang kebersamaan dan kerjasama antara suami dan isteri dalam menghulurkan layanan yang baik antara kedua-duanya yang mana isteri sebagai sumber kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangga. Tambahan pula, suami dalam melayari bahtera rumahtangga perlu mengambil teladan akhlak terbaik yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana dalam sebuah hadis daripada ibnu Abbas RA, bahawa Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya. (Riwayat Ibn Majah)
Dalam menghadapi karenah rumahtangga seumpama ini, puan hendaklah banyak bersabar dan selalulah berbincang dengan suami dengan cara yang baik. Sebagai isteri sekiranya puan lari atau keluar rumah tanpa izin suami, ia adalah merupakan satu kesalahan dan dianggap menjadi isteri yang nusyuz, kecuali keluar untuk mengelakkan diri dari kezaliman suami atau perkara boleh menyebabkan kemudaratan fizikal dan mental.
Puan boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat kekeluargaan dari mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran sekiranya permasalahan puan ini semakin kritkal dan sukar untuk berbincang secara bersama.
Sekian, terima kasih.