BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, soalan ini sangat penting bagi saya untuk menunaikan solat fardu dan puasa.

 

Pertanyaan : saya mengambil perancang keluarga dengan suntikan depo, kaedah ini buat haid saya tidak teratur. Ceritanya, selepas saya bersalin dan habis segala nifas, saya mula ambil suntikan depo pada 12/08/2024 dan setelah beberapa hari, darah saya mula keluar sehingga kini 17/01/2025 ( tiada sehari pun darah saya tidak keluar ). Jadi pertanyaannya macam mana saya nak tahu darah itu darah haid/istihadah atau sebagainya sebab darah sentiasa keluar setiap hari. Dan bila waktu yang yang saya boleh menunaikan solat fardu dan puasa.

 

Note : Last saya period sebelum mengandung 30/09/2023, dan sepanjang mengandung tiada darah yang keluar, darah hanya mula keluar selepas habis darah nifas iaitu beberapa hari selepas mula mengambil suntikan depo pada 12.08.24.

 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan keadaan yang alami, kami menyarankan agar puan segera mengadukan perkara ini kepada pihak yang memberikan suntikan depo tersebut. Dibimbangi sekiranya ia dibiarkan berterusan boleh menyebabkan kemudharatan kepada diri puan. 

Secara asasnya, sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam. Jika darah keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid berkemungkinan ia merupakan keadaan darah bercampur antara haid dan istihadhah. Untuk membezakan antara darah haid dan istihadhah ia boleh ditentukan dengan dua kaedah berikut:

(1) Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah sama ada darah kuat atau lemah melalui perbezaan warna dan sifat darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah adalah darah istihadhah. 

Sebagai contoh:

13/8 hingga 20/8 adalah darah kuat (hitam) iaitu selama 6 hari dianggap darah haid kerana sifat dan warna darah adalah kuat. 

21/8 hingga 4/9 adalah darah lemah (merah) iaitu selama 15 hari ia boleh dianggap istihadhah kerana darah lemah yang keluar adalah memenuhi syarat minimum suci 

5/9 hingga 12/9 adalah darah kuat (hitam) selama 7 hari dianggap kitaran haid baru.

Kaedah ini digunakan jika puan dapat membezakan jenis darah melalui perbezaan sifat dan warna darah. Namun begitu, ika tidak dapat dipastikan perbezaan darah tersebut kuat atau lemah, boleh menggunakan kaedah kedua; 

(2) Kaedah adat kebiasaan haid puan sebelum puan mengambil suntikan perancang. Jika adat sebelumnya adalah 7-8 hari adalah haid dan 26 hari adalah suci, maka darah yang keluar boleh ditentukan mengikut adat kebiasaan haid puan, iaitu jadikan 7 hari terawal sebagai haid, 26 hari selepasnya sebagai suci dan begitulah seterusnya selagi darah masih keluar dan tidak dapat dibezakan jenisnya.

Puan hendaklah mengira semula darah yang keluar selama sebulan selepas puan mengambil suntikan perancang kali pertama. Jika telah ditentukan perbezaan darah haid dan istihadhah, didapati terdapat waktu yang sepatutnya adalah istihadhah (dikira sebagai waktu suci), hendaklah diganti semula solat yang tertinggal ketika itu. Hendaklah dipastikan kiraan hari sebaiknya pada bulan-bulan sebelum ini hingga sekarang untuk membezakan darah yang berterusan keluar tersebut yang mana satu darah haid atau istihadhah. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image