Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada membaca dalam ruangan soal jawab berkenaan buasir. Apakah yang dimaksudkan dengan " sekiranya darah buasir keluar dari bahagian dalam dubur dan bukan secara berterusan" maka hal tersebut boleh membatalkan wudhu` dan menyebabkan solatnya terbatal. Adapun sekiranya darah buasir keluar secara berterusan, maka ia mengambil hukum orang yang sentiasa berhadas. Justeru dia perlu mengambil wudhu` setiap kali hendak mengerjakan solat dan membalut tempat keluar darah. Hukum solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya sekalipun darah masih keluar semasa mengerjakan solat.
Soalan saya, sekiranya darah buasir keluar dan berhenti lebih kurang 1/2 jam kemudian, adakah perlu tunggu sehingga darah berhenti baru boleh ambil wuduk dan solat ? Apakah yang dimaksudkan dengan darah buasir keluar secara berterusan? Sekiranya darah keluar selepas membuang air besar dan tiada darah keluar lg selepas 1/2 jam kemudian, itu dikira macam mana ya?
Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
"Sekiranya darah buasir keluar dari bahagian dalam dubur dan bukan secara berterusan" bermaksud jika terdapat darah yang keluar daripada dubur, dalam kes ini disebabkan buasir, maka wuduk terbatal. Ini kerana salah satu perkara yang membatalkan wuduk adalah keluar sesuatu daripada dubur. Di dalam situasi ini adalah darah.
"Darah keluar berterusan" bermaksud darah keluar berpanjangan sehinggakan menghabiskan waktu solat. Dengan kata lain, hampir sepanjang tempoh waktu solat darah tetap keluar. Seperti orang yang mengalami penyakit kencing tidak lawas, yang mana air kencing sentiasa keluar tanpa dapat dikawal.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya darah keluar selepas daripada buang air besar dan darah akan berhenti selepas 1/2 jam, maka ia tidak dianggap sebagai darah keluar berterusan, kerana masih terdapat masa yang cukup untuk mendirikan solat di dalam keadaan darah tidak keluar. Puan perlu menunggu sehingga darah berhenti daripada keluar untuk menunaikan solat. Tidak dibenarkan untuk solat dalam keadaan darah masih keluar.
Sekian, terima kasih.