Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya nak bertanya. Saya bakal bernikah tak lama lagi. Wali saya masih ada iaitu ayah saya. Keadaan sekarang ni, ayah saya bermain nombor ekor. Saya difahamkan orang yg bermain nombor ekor tidak layak untuk menjadi wali. Macam mana saya nk tahu ayah saya betul2 dah berhenti main nombor ekor pada hari nikah saya? Mungkin dia boleh cakap dia dah berhenti tapi macam mana kalau senyap2 dia masih bermain nombor ekor? Adakah sah perkahwinan saya?
Jawapan
Salah satu daripada syarat sah wali adalah wali yang 'adil. 'Adil bermaksud tidak melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat, mengekalkan dosa kecil atau mencemarkan maruah diri seperti kencing di jalanan, berada dalam pusat-pusat hiburan, pusat perjudian atau seumpama dengannya. Sifat 'adil ini dilihat secara zahir dan bukannya secara batin. Memadai sesorang itu tidak secara terang terangan meninggalkan solat, tidak berpuasa atau terkenal sebagai peminum arak, maka dia dianggap sebagai 'adil dan sah akad nikahnya.
Telah menjadi amalan yang lazim bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah sebelum mereka melaksanakan upacara akad nikah, bagi memastikan segala syarat-syarat sah perkahwinan itu ditepati dan dipatuhi agar pernikahan itu sah pada hukum syarak. Iaitu mengajak semua hadirin terutamanya wali yang akan menjadi wali anaknya untuk bertaubat dengan beristighfar kepada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Ini bagi memastikan wali bersih dari sebarang dosa semasa akad nikah dilangsungkan.Adapun sekiranya setelah akad nikah dilaksanakan, wali itu kembali melakukan perkara dosa dan maksiat kepada Allah SWT, maka ia tidak menjejaskan pernikahan anaknya yang telah dilaksanakan itu, kerana semasa akad nikah berjalan, kita yakin wali telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.