Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz...pada tahun 2023 ibu mertua saya melakukan korban lembu pada Hari Raya Aidiladha yang kedua,yang jadi kemusykilan saya tidak di beri keizinan untuk melakukan sembelihan pada lembu korban tadi kerana nama saya ada dalam Salah satu 7 Bahagian kerana ada ustaz yang bagi tahu ibu mertua individu yang ada Bahagian korban tidak boleh melakukan sembelihan,saya mohon pencerahan..saya dari tahun 2009 hingga kini telah melakukan kerja sembelihan tika hari Raya Aidiladha sekitar Surau Dan masjid Dengkil...benarkah individu yang ada Bahagian korban tidak boleh melakukan sembelihan..mohon pencerahan ...terima kasih
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Individu yang memiliki bahagian dalam ibadah korban dibolehkan untuk melakukan penyembelihan haiwan korban, sama ada untuk dirinya sendiri atau bagi pihak orang lain. Dalam Islam, tidak ada larangan yang menghalang seseorang yang berkongsi dalam bahagian korban daripada menyembelih haiwan korbannya. Perihal ini sabit berdasarkan hadis Nabi SAW menunjukkan bahawa Baginda sendiri melaksanakan penyembelihan haiwan korbannya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut. (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan pengamalan Nabi SAW yang disebut dalam hadis ini, maka disunatkan bagi seseorang yang berkorban untuk menyembelih sendiri haiwan korbannya sebagai jalan mengikuti sunnah Baginda SAW.
Adapun larangan untuk penama menyembelih sendiri daripada peserta itu mungkin peraturan yang dibuat oleh pihak pengurus haiwan korban bagi memudahkan urusan korban dilakukan. Tuan boleh merujuk kepada pihak penganjur mengenai peraturan-peraturan yang ditetapkan sebelum mengambil bahagian dalam haiwan korban agar tidak timbul perasaan tidak puas hati terhadap proses yang dilakukan.
Sekian, terima kasih.