Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, disini saya ingin mengajukan soalan berkenaan apakah hukum solat di dalam bas sekiranya bas tidak berhenti untuk menunaikan solat dan bas tersebut tiba di destinasi saya ketika tamat waktu solat, adakah dibolehkan solat ketika bas sedang bergerak? Adakah sah solat yang didirikan dalam bas tersebut? Mohon pencerahan...Terima kasih.
Jawapan
Dinyatakan oleh Imam An-Nawawi Rahimahullah, di dalam kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab yang bermaksud ; “Jika seseorang itu diwajibkan solat maktubah, dan dia bimbang jika turun dari tunggangannya (kenderaan) untuk solat mengadap qiblat akan menyebabkan dia ditinggalkan rombongan atau bimbang keselamatan diri atau hartanya, maka dia tidak boleh meninggalkan solat dan membiarkan waktu solat habis, akan tetapi dia wajib solat di atas haiwan tunggangannya bagi menghormati waktu dan wajib qada’ semula solat tersebut kerana ia merupakan uzur yang jarang berlaku”
Menurut Mazhab Syafi’e, wajib solat setakat yang termampu walaupun dalam keadaan tidak memenuhi syarat sah atau rukun solat tertentu dan wajib mengqada’ semula solat tersebut apabila mampu melaksanakannya secara sempurna. Solat ini yang dinamakan solat hormat waktu.
Tahniah atas keprihatinan pihak tuan/puan akan kewajipan menjaga solat fardu.
Sekian, terima kasih.