Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz/ustazah. Saya pernah terdengar ada org kata utk memasukkan jari utk membersihkan dubur dan keluarkan tahi dari lubang dubur. Saya telah melakukan perkara ini selama 10 tahun.
Persoalan saya, batalkah puasa selama 10 tahun yang lepas? Adakah saya perlu menggantikan puasa saya yang 10 tahun lepas dan membayar fidyah? Jika ya, bagaimana pengiraan puasa ganti dan fidyah?
Jawapan
Secara umumnya berkenaan had dubur yang membatalkan puasa, apabila seseorang duduk dalam keadaan mencangkung untuk beristinjak, maka anggota yang terzahir daripada faraj atau dubur itu dikira sebagai anggota luar yang boleh disentuh dan tidak membatalkan puasa. Adapun sekiranya memasukkan jari melebihi daripada kadar itu, maka batal puasa tersebut.
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab Majmu’ memasukkan sebahagian jari atau selainnya ke dalam dubur adalah membatalkan puasa:
Maksudnya: Sekiranya seseorang lelaki memasukkan jari tangannya atau selainnya ke bahagian duburnya atau seorang perempuan memasukkan jarinya atau selainnya ke dalam dubur atau qubul (faraj) dan berbaki sebahagian tangan di luar, maka perbuatan itu membatalkan puasa berdasarkan kesepakatan ulama mazhab Shafi’i.
Bagi mencuci dubur daripada najis ketika berpuasa, cukup sekadar memancutkan air ke dubur bagi tujuan membasuhnya dan menggosok bahagian luarannya sahaja. Perbuatan ini tidak membatalkan puasa kerana kebiasaannya ia tidak sampai ke bahagian had batin.
Merujuk kepada persoalan, perbuatan puan memasukkan jari ke dalam dubur tersebut telah menyebabkan puasa puan terbatal. Secara umumnya, bagi puasa yang telah terbatal maka wajib mengqadha'kan puasa tersebut mengikut bilangan hari yang telah terbatal. Begitu juga bayaran fidyah mengikut bilangan hari dan tahun yang telah berlalu yang boleh dirujuk di laman sesawang Lembaga Zakat Selangor https://fpx.zakatselangor.com.my/
Namun, setiap tindakan yang dilakukan oleh seorang muslim disebabkan tersalah, lupa mahupun disebabkan terpaksa atau dipaksa maka, perbuatan tersebut dimaafkan oleh Allah SWT dan tidak akan dikenakan hukuman. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka
Justeru, bagi perbuatan yang telah berlalu dan berlaku atas kesilapan dalam beragama maka tidak perlu diqada dan tidak perlu dibayar fidyah kerana ia termasuk dalam perkara yang rumit dalam agama dan dimaafkan. Sama-sama berdoa semoga Allah SWT mengampuni kesilapan kita pada amalan-amalan yang lepas.
Sekian, terima kasih.