BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan berkenaan hukum denda kehilangan kad parking.

Saya pernah kehilangan kad touch n go selepas tap masuk parking. Apabila saya nak keluar, kad tersebut tidak dijumpai lalu saya bertanya kepada helpline. Helpline memberitahu akan hantar staff tetapi tiada staff yang datang. Keesokannya, bila saya bertanya kepada staff yang menjaga parking, dia memberitahu saya perlu bayar RM 50 untuk kehilangan kad dan meminta saya untuk cari dulu sebelum membuat pembayaran namun kad tersebut tetap dijumpai. Apabila saya datang kembali untuk bayar, staff tersebut kasihankan saya dan mencadangkan saya cara-cara untuk keluar parking tanpa membayar tetapi dengan syarat saya melakukannya sendiri tanpa melibatkan staff dan saya juga harus diam dan tidak boleh menceritakan hal ini. Saya juga diberitahu bahawa rekod entry saya juga akan hilang sendiri dari dalam sistem selepas sebulan. Ini bermakna pihak management tidak akan tahu akan hal ini.

Soalan saya, andai kata saya mengikut cadangan staff tersebut, adakah haram hukumnya kerana saya tidak membayar denda kehilangan kad sebanyak RM 50 tersebut? Atau tidak dikira haram kerana cadangan itu adalah daripada staff sendiri yang mana bermaksud saya mendapat kebenaran untuk keluar tanpa membayar denda walaupun management syarikat parking tersebut tidak tahu tentang hal ini.

Mohon penjelasan kerana saya sedang dalam dilema.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hadis riwayat Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad SAW:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati(Riwayat Ab Daud)

Sebagai muslim yang baik, peraturan yang ditetapkan oleh sesiapa sahaja pelulah dipatuhi sebagaimana yang ditetapkan. Tuan/ Puan juga sedia maklum bahawa kesalahan menghilangkan kad telah ditetapkan denda yang perlu dibayar. Sewajarnya denda perlu dilunaskan kepada pihak pemilik/ pengurusan bangunan kerana adanya kerugian yang perlu ditanggung akibat tuan/ puan tidak membayar caj parking dan denda menghilangkan kad tersebut. Melainkan kebenaran itu datangnya dari pihak pemilik bangunan. kakitangan itu hanya pekerja yang sewajarnya melaksanakan amanah yang diberikan. Sewajarnya kembalikan hak pemilik bangunan yang telah diceroboh, mungkin dengan tuan/ puan berterus-terang, kesalahan itu boleh dimaafkan. 

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 13

message user image