Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya ada soalan berkenaan tahlil arwah. Apakah hukum membuat satu tahlil arwah bagi satu senarai nama (dalam 30 nama areah) oleh anak-anak tahfiz di bulan ramadhan? Tahfiz ini juga tidak menetapkan sebarang bayaran. Adakah ini satu amalan bida'ah? Minta pencerahan tuan.
Sekian, terima kasih.
Meor
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, mengadakan majlis tahlil dan bacaan yaasin adalah harus. Ia merupakan amalan yang telah diterima dan menjadi amalan oleh ulama’ muktabar sejak dahulu, dan tidak boleh sama sekali dihukumkan sebagai bid’ah. Amalan tahlil arwah ini termasuk dalam perkara khilafiah yang telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Ini merupakan pautan bagi fatwa tersebut bagi bacaan dan rujukan pihak tuan: Fatwa Perkara Khilafiah
Dalam persoalan ini, didapati tidak ada dalil khusus yang mewajibkan atau melarang tahlil arwah diadakan secara beramai-ramai dengan menyebut senarai nama tertentu selagimana ia dilakukan dengan ikhlas dan bukan satu kewajipan atau sesuatu yang dianggap sebagai tuntutan agama yang mesti dilakukan, maka ia termasuk dalam perkara yang harus (mubah).
Jika bacaan tahlil dilakukan oleh palajar-pelajar tahfiz tanpa menetapkan sebarang bayaran dan melakukannya secara sukarela, maka ia dibenarkan . Begitu juga jika ada pihak yang memberi sumbangan atau sedekah kepada tahfiz tersebut sebagai tanda penghargaan, ini juga dibolehkan, asalkan tidak mengenakan syarat wajib bayaran untuk tahlil yang dilakukan oleh mereka.
Sekian, terima kasih.