Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya nak tanya tentang situasi saya ni. Satu hari, saya baru habis mandi dan dah lap badan saya. Apabila saya lihat kemaluan saya, saya lihat ada air jernih dan saya syak itu air mazi. Bila saya sentuh air tersebut, takde pun melekit dan licin sangat. Tapi berasa ragu-ragu sebab bila saya mula-mula sentuh tu macam ade rasa juga melekit sikit tapi bila saya rasa-rasa lagi tidak melekit dan licin pun. Adakah ia dikira sebagai najis atau tidak dan bagaimana kalau saya telah sentuh banyak benda selepas itu?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, di sisi mazhab Shafi'i air mazi merupakan najis. Air mazi adalah air yang berwarna putih, halus dan melekit. Keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bermesra bersama isteri, atau memikirkan dan berkhayal tentang perlakuan jimak. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Justeru, hukum bersuci dari najis adalah wajib jika seseorang itu menyakini keberadaan najis tersebut melalui bau, rasa dan warna. Oleh itu, mengikut situasi yang tuan alami, tuan perlu membuat keputusan memilih secara yakin sama ada ia benar-benar adalah air mazi jika mencukupi padanya sifat-sifatnya maka ia dikira sebagai najis dan perlu untuk dibersihkan. Jika sebaliknya maka ia dikira sebagai suci. Namun, jika terdapat najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan".
Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disucikan.
Selain pada tempat yang dikhuatiri berlaku adanya perpindahan najis maka tidak diberatkan kepada tuan untuk menyucikannya oleh kerana perpindahan tersebut tidak dapat dipastikan secara yakin. Hal ini kita hanya diminta untuk mengambil hukum secara zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:
Maksudnya: Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.
Begitu juga, asal bagi sesuatu itu adalah suci sepertimana dalam satu kaedah menyebutkan bahawa;
Maksudnya: Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.
Sekian, terima kasih.