BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

“Apakah hukum dan apakah yang perlu saya lakukan jika suami tidak pernah membayar duit ansuran rumah sepanjang 8 tahun hidup bersama dengan alasan rumah itu dibeli atas nama saya? Suami juga tidak pernah membayar bil air, sengaja bertangguh membayar bil elektrik sehingga tertunggak beribu, dan tidak peduli tentang makan, minum, serta keselamatan saya ketika kami bergaduh berhari-hari. Selain itu, suami sering melepak dengan kawan-kawannya sehingga jam 2 pagi, dan apabila marah, dia sering memaki serta bersikap kasar. Adakah menghantar saya pergi kerja setiap hari, termasuk minyak dan tol, boleh dikira sebagai nafkah?”

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, kewajipan suami memberi nafkah yang menjadi tanggungjawabnya ialah menyediakan;

  • Tempat tinggal
  • Barang-barang dapur
  • Makanan
  • Keperluan pembersihan diri
  • Pakaian
  • Pembantu rumah (jika mampu) 

Pemberian nafkah kepada isteri tu adalah mengikut kemampuan suami, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233:

وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya : Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. 

Walau bagaimanapun, jika isteri reda membelanjakan hartanya untuk keperluan rumahtangga, maka dia akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT atas kebaikan yang dilakukannya. Namun, keredaan isteri itu bukanlah alasan untuk suami mengabaikan kewajipan memberi nafkah.

Sekurang-kurangnya, suami wajib menanggung perbelanjaan asas seperti bayaran ansuran rumah (walaupun atas nama isteri), bil utiliti, serta keperluan asas dalam rumah. Manakala tindakan suami menghantar isteri ke tempat kerja, membayar tol dan minyak kenderaan bukanlah sebahagian daripada nafkah, tetapi lebih kepada tanggungjawab kerana suami memberi keizinan kepada isteri untuk bekerja.

Jika keadaan ini tiada kesudahan dan suami isteri sering bergaduh disebabkan perkara tersebut, sebaiknya puan boleh kemukakan permohonan nafkah isteri melalui perintah Mahkamah. Puan boleh membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah yang berhampiran tempah tinggal untuk diadili dengan sebaiknya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image