BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya baru berkahwin selama setahun. Selepas 3 bulan nikah, saya terbaca whatsapp suami dengan wanita lain dan wanita tersebut sering menghantar video dan gambar dia yang tidak senonoh. Suami meminta maaf dan ingin berubah. Saya maafkan dia walaupun susah sebab selalu teringat kan perbuatan mereka. Selepas daripada itu, beberapa kali juga dia ada berhubung dengan wanita lain sehingga baru-baru ini dia ada follow dan like wanita yang berkelakuan tidak senonoh itu di tiktok. Saya jadi trauma dan jijik dengan suami sendiri...adakah saya berdosa kerana berperasaan seperti itu? berdosakah jika saya tidak maafkan suami dan tidak mendoakan yang baik-baik untuk suami? Saya tertekan sebab dia juga suka main judi online. Saya sering menegur perbuatan dia, namun berakhir dengan pertengkaran


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam menjalani kehidupan berumahtangga sudah pasti banyak cabaran dan rintangan yang terpaksa pasangan lalui sebagai satu proses kematangan dalam rumahtangga. Namun, kebijaksanaan, sentiasa berbincang (syura) dan sikap toleransi amatlah penting dalam menghadapi kerenah dalam rumahtangga.

Sebagai isteri sudah pasti akan ada perasaan trauma dan jijik terhadap perbuatan atau kesalahan yang berulangkali dilakukan oleh suaminya, namun perasaan itu jangan sampai memberi kesan kepada layanan puan terhadap suami. Berdosa sekiranya isteri tidak melayan suaminya dengan baik, kecuali arahan suami itu bercanggah dengan hukum syara. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman Bin Auf RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktunya, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya, dan mentaati suaminya, akan dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam syurga melalui mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki. (Riwayat Ahmad)

Dalam bab memberi kemaafan kepada suami puan, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya manusia-manusia yang memaafkan orang lain yang berbuat jahat terhadap mereka walaupun mereka sebenarnya boleh sahaja untuk membalas kembali perbuatan jahat tersebut. Keadaan ini menunjukkan kedudukan seseorang yang mempunyai akal yang cerdas, fikiran yang jitu, dan kekuatan mengawal emosi. Perbuatan ini juga lebih hebat daripada sekadar menahan marah, kerana orang yang menahan marah itu boleh jadi masih menyimpan perasaan dendam.

Namun begitu, jika suami melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat, isteri tidak boleh berdiam diri. Menegur suami dalam perkara maksiat dan dosa adalah suatu tindakan yang terpuji. Tegurlah dengan penuh hikmah dan beradab agar suami dapat menerima teguran dengan hati yang terbuka. Banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar permasalahan dan ujian dalam rumahtangga dapat diangkat serta dipermudahkan penyelesaiannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image