Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, maaf bertanya, selapas akad nikah saya ada lafaz taklik jika kluar rumah tanpa izin maka jatuh talak, soalan sy ialah adakah taklik tersebut dikira berlaku jika isteri saya keluar rumah dengan alasan atas urusan kursus tetapi sy dapati isteri saya keluar berfoya foya dengan lelaki lain berduaan, ini adalah kerana keizinan keluar rumah tersebut untuk tujuan kursus dan tiada keizinan jika untuk berfoya foya dengan lelaki lain, sekian soalan sy, terima kasih
Jawapan
Lafaz taklik suami : jika kluar rumah tanpa izin maka jatuh talak, adalah lafaz taklik yang soreh (jelas) maksudnya. Bermakna jatuh talak jika isteri keluar rumah tanpa izin suami. Adapun, jika suami memberi keizinan maka talak tidak jatuh.
Perbuatan yang dilakukan oleh isteri disebalik keizinan yang suami beri, tidak menyebabkan jatuh talak ke atas isteri kerana taklik itu bersifat umum. Selagimana suami memberi keizinan untuk isteri keluar rumah, maka talak tidak berlaku ke atas isteri. Tetapi, jika berlaku perkara seperti yang didakwa oleh suami, sebaiknya pasangan perlu dapatkan nasihat kekeluargaan di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tinggal.
Sekian, terima kasih.