BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya ingin memohon pencerahan. Bolehkan saya menolak permintaan suami untuk membawa ibunya tinggal bersama kami?

Alasan suami;

1. Ibunya berpenyakit, ada anxiety dan tidak boleh tinggal berseorangan di rumah (bersuami tapi bermadu)

2. Adik beradik lain belum berkemampuan untuk menyewa/membeli rumah yang membolehkan ibu mereka tinggal bersama di Selangor. (kampung di Kelantan)

Alasan saya menolak;

1. Tiada privasi (ibu mertua sentiasa berada di ruang tamu, tidak segan silu untuk ketuk bilik kami suami isteri, suka ikut kami keluar walaupun ada orang lain boleh temankan di rumah)

2. Tekanan emosi (saya pernah bertengkar dengan ibu mertua kerana dia masuk campur dalam urusan rumah tangga kami, tidak hormat saya dan suami sebagai tuan rumah - kerap menyatakan kekurangan di rumah kami, paksa kami ikut cara hidupnya, tidak menjaga kebersihan dan suka cakap belakang tentang saya kepada suami dan anak2nya yang lain)

3. Kekucaran rumah tangga (kerap menjadi punca kami bertengkar kerana dia beranggapan suami saya terlalu manjakan isteri dan ikut telunjuk isteri)

4. Berpendapat Ibu mertua berkemampuan untuk menampung kehidupan sendiri tanpa perlu tinggal bersama (Saya dan suami tidak mempunyai kewangan yang stabil. Rumah yang diduduki sekarang dibayar oleh bapa saya. Ibu mertua mempunyai suami yang ada pencen, dia juga ada pencen, ada rumah sendiri dan aset hartanah. Dia ingin mencari pembantu rumah tapi masih mahu tinggal bersama kami. Rumah kami kecil sahaja, ada 3 bilik. 1 bilik kami suami isteri, 1 bilik anak, 1 bilik kerja suami. Saya merasa tidak adil bila anaknya belum mampu menafkahi saya secukupnya, dan ayah saya membantu, tetapi bantuan itu digunapakai bukan untuk keperluan dan keselesaan saya, tetapi untuk memenuhi keinginan orang lain. Sebab bagi saya, ibu mertua boleh menunggu anak2 mampu untuk menyewa/membeli rumah untuk dia tinggal bersama dan sementara itu tinggal di Kelantan di rumahnya sendiri bersama pembantu rumah memandangkan suaminya berada di Kelantan)

Adakah berdosa saya berfikir begini? Dan sekiranya memang saya berhak untuk menolak, mohon bantuan panel untuk membantu saya mengutarakan ini kepada suami saya. Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada pertanyaan puan, sewajarnya, apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan atau hidup bersama, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, ingin ditegaskan di sini bahawa dalam melayari bahtera rumahtangga pasangan hendaklah sedaya upaya untuk memahami hak pasangan masing-masing, terutama dalam memastikan keselesaan pasangan kita dalam segenap sudut dan perkara, sebagai contoh, isteri ditempatkan dengan tempat yang munasabah dengan status keisteriannya dan lain-lain lagi, agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia dan hidup penuh toleransi.

Dalam menghadapi konflik seumpama ini, perbincangan antara suami isteri adalah antara kaedah yang terbaik dalam membuat sebarang keputusan. Perbincangan atau syura yang dijalanakan dalam suasana yang tenang dan damai lazimnya akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak.

Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT melalui surah Ali Imran ayat ke 159 :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.

Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.

Sama ada puan berhak menolak atau tidak bergantung kepada kesan daripada keputusan ini. Pertimbangkanlah adakah penerimaan terhadap keputusan suami akan membawa kepada kebahagiaan dan kesejahteraan rumahtangga, atau sebaliknya, adakah ia akan menghalang tercapainya matlamat perkahwinan serta menyebabkan tekanan berterusan dalam kehidupan? Jika tekanan ini berlarutan, ia boleh menjejaskan fungsi rumahtangga sehingga tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Oleh itu, suami isteri hendaklah saling berusaha untuk mengelakkan tekanan antara satu sama lain dan sentiasa mencari jalan tengah dalam setiap keputusan yang dibuat. Jangan sampai niat yang baik akhirnya membawa akibat yang buruk. Perbincangan secara matang dan penuh hikmah amat penting agar keharmonian rumahtangga dapat dipelihara. Jangan lupa untuk sentiasa berdoa agar Allah SWT memberikan jalan keluar yang terbaik serta memberkati kehidupan berkeluarga dengan ketenangan dan kasih sayang.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image