BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. 

Saya adik perempuan kandung kepada abang saya yang mana seorang suami dan seorang ayah kepada 2 orang puteri. Dimana beliau mempunyai seorang isteri sehingga kini. Maaf abang saya seorang yang segan untuk merujuk kepada mana-mana pihak berkenaan dengan perihal rumahtangganya. Manakala saya dan keluarga tidak begitu yakin untuk memberinya jawapan apa-apa. 

Isterinya telah menuntut cerai dan mahkamah telah menunda kes tersebut pada masa akan datang. Disini abang saya telah menerima satu (1) pesanan ringkas daripada pihak JAKESS yang mana beliau perlu membawa wakil hakam (iaitu ahli keluarga yang lelaki sahaja sudah berkahwin) ketika pada hari tersebut. Bolehkah pihak tuan menjelaskan bagi ahli keluarga yang lelaki sahaja sudah berkahwin itu terdiri daripada adik beradik kandung atau termasuk ipar? 

 

Sekian itu sahaja,

Terima Kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Hakam ialah wakil yang dilantik untuk berperanan sebagai pendamai dalam kes rumahtangga, khususnya dalam kes tuntutan perceraian. Wakil hakam ini perlu memenuhi beberapa kriteria, antaranya ialah:

  1. Lelaki yang matang: Individu tersebut mesti cukup dewasa dan memahami situasi serta isu yang dibincangkan.
  2. Seorang yang adil dan bijaksana: Hakam perlu mampu membuat keputusan yang rasional dan berlandaskan hukum syarak.
  3. Seorang yang berkahwin: Kriteria ini menunjukkan bahawa dia mempunyai pengalaman dalam perkahwinan, jadi lebih memahami selok-belok rumahtangga.
  4. Ahli keluarga yang rapat: Keutamaan diberikan kepada ahli keluarga terdekat yang memahami situasi rumahtangga pihak suami.

Berkenaan soalan puan, wakil hakam boleh terdiri daripada adik-beradik kandung yang lelaki dan telah berkahwin, atau ipar lelaki yang telah berkahwin, sekiranya mereka memenuhi kriteria di atas. Dengan kata lain, bukan hanya terbatas kepada adik-beradik kandung sahaja, tetapi termasuk ipar lelaki yang sesuai dan mampu menjalankan tanggungjawab ini.

Namun, pihak mahkamah akan menilai dan memastikan bahawa individu yang dibawa sebagai wakil hakam adalah layak. Oleh itu:

  1. Utamakan adik-beradik kandung lelaki yang telah berkahwin, jika ada.
  2. Jika tiada adik-beradik kandung yang sesuai, maka ipar lelaki (contohnya, suami kepada kakak/adik perempuan abang anda) boleh dijadikan wakil hakam, asalkan memenuhi syarat.

Walaubagaimanapun pihak puan adalah dinasihatkan untuk menghubungi pihak JAKESS (Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor) sebagai agensi yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa dalam menguruskan kes ini bagi mendapatkan kepastian dan penjelasan lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image