Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya berniat untuk berkahwin pada masa hadapan dan ada kemusykilan berkenaan syarat dan hukum wali terdekat. Ibu bapa saya sudah bercerai sejak tahun 2004, dan ibu saya sudah berkahwin bapa tiri saya. Antara alasan perceraian ibu bapa saya pada masa tersebut adalah kerana bapa saya mengakui dirinya sebagai seorang homoseksual. Kami sekeluarga tidak pernah bincang dengannya akan seksualitinya kerana takut akan reaksinya sebagai seorang yang agak panas baran dan boleh mengamuk. Selama 20 tahun ini, kami tidak tahu akan hal2 peribadinya, kecuali dia mempunyai ramai kawan lelaki yang boleh dikatakan sebandingnya. Saya rasa dia hanya mempunyai perasaan homoseksual tersebut, tetapi tidak bertindak ke atasnya (melakukan seks, etc). Walaupun begitu, dia tetap menunaikan solat 5 waktu, dan pernah melakukan umrah. Namun, dia juga boleh dikatakan bersikap riak akan kekayaannya dan suka menunjuk-nunjuk.
Adakah bapa saya masih boleh menjadi wali saya? Dia pernah kata pada awalnya bahawa dia 'tidak cukup ilmu agama' untuk menjadi wali saya, dan bercadang supaya adik lelaki saya menggantikannya. Datuk saya (bapanya) sudah lama meninggal. Saya amat berharap bahawa dia boleh menjadi wali saya agar dapat menjaga silahturrahim dengannya, kerana dia tetap bapa saya yang dikasihi.
Terima kasih kerana sudi menjawab soalan saya.
Jawapan
Salah satu daripada syarat sah wali adalah wali yang 'adil. 'Adil bermaksud tidak melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat, mengekalkan dosa kecil atau mencemarkan maruah diri seperti kencing di jalanan, berada dalam pusat-pusat hiburan, pusat perjudian atau seumpama dengannya. Sifat 'adil ini dilihat secara zahir dan bukannya secara batin. Memadai sesorang itu tidak secara terang terangan meninggalkan solat, tidak berpuasa atau terkenal sebagai peminum arak, maka dia dianggap sebagai 'adil dan dia layak menjadi wali dan sah akad nikahnya.
Dalam konteks pengamalan, telah menjadi kelaziman bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah, sebelum mereka melaksanakan upacara akad nikah dan bagi memastikan segala syarat-syarat sah perkahwinan itu ditepati dan dipatuhi agar pernikahan itu sah pada hukum syara, maka Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah akan mengajak semua hadirin terutamanya wali yang akan menjadi wali kepada anaknya untuk bertaubat dengan beristighfar kepada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Ini bagi memastikan wali bersih dari sebarang dosa semasa akad nikah dilangsungkan. Adapun sekiranya setelah akad nikah dilaksanakan, wali itu kembali melakukan perkara dosa dan maksiat kepada Allah SWT, maka ia tidak menjejaskan pernikahan anaknya yang telah dilaksanakan itu, kerana semasa akad nikah berjalan, kita yakin wali telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.