BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mohon pandangan dari pihak tuan berkenaan situasi rumahtangga berikut :

Seorang suami ada melakukan kesalahan mengambil barang isteri dan telah menjualnya tanpa pengetahuan isteri demi keperluan keluarga. Barang yg di ambil 2 jenis sahaja. Pada asalnya isteri telah redha dengan kehilangan barang tersebut dan mnganggap takda rezeki. Dan suami telah berniat akan menggantikan semula barang tersebut pada msa akan datang. Isu barang hilang smpai ke pengetahuan mertua.

Akan tetapi ada masuk campur dari mertua(belah isteri) yang menuduh suami tadi mencuri lebih 5 barang. Sedangkan suami hanya ambil dua barang shj tanpa pengetahuan isteri. ( Lebih lg 3 barang sebenrnya telah dijual atas persetujuan bersama dengan suami isteri sebelum ini namun isteri mengatakan kepada ibunya bahawa 3 barang itu turut hilang kerana tidak mahu dimarahi oleh ibunya). Isteri pula telah berubah perangai dengan mengikut kata ibunya dan mula tidak bersyukur dgn kebaikan suami dan mmburukan suami kepada pihak keluarga semua dengan mengatakan seolah2 suami ini terlalu daif dan isteri mengungkit pertolngan yg telah diberi sebelum ini.Isteri juga suka update whtsapp status dengan menyatakan buruk suami dan keluarga suami. Namun depan suami, isteri seolah2 rasa dirinya sahaja yang betul.

Satu hari, mertua telah memaksa isteri dan suami junjung Al-Quran(yg memiliki terjemahan). Dan mertua seolah2 memaksa suami untuk mengaku mengambil barang2 tersebut. Dengan menyuruh suami dan isteri melafazkan taklik dengan mengatakan jika suami mengambil barang tersebut, jatuh talak. Bersaksikan ibu dan bapa mertua. Isteri mengikut suruhan ibunya dengan melafazkan dengan lafaz penuh kepada suami. Namun suami tidak mahu mengaku perbuatan tersebut kerana dia hanya mengambil 2 barang shj, tetapi dia dipaksa utk sebut taklik atas jumlah keseluruhan barang yang hilang tersebut. Suami tak nak keadaan menjadi teruk, suami lafaz namun suami tidak melafazkan taklik itu secara penuh dan tidak jelas. Dia hanya nak bg puas hati mertua sahaja. Suami juga tiada niat nak bercerai. Kerana ada anak2 masih kecil.

Semua ini dilakukan atas desakan mertua yg tidak  puas hati dan msuk campur tangan dalam urusan rumah tangga suami tersebut. Suami tidak pernah memukul isteri atau curang dengan isteri. Cuma keadaan ekonomi suami tidak stabil kerap diuji masalah kewangan. Mertua pula seolah2 memang nak suruh anak bercerai.

Setelah kejadian tersebut, suami terasa hati dan marah dan terasa dicabar. Tapi suami takda lafaz cerai apa2 cuma ada ajak pergi pejabat agama utk mohon kaunseling dgn pihak berkenaan. Namun isteri menganggap suami nk buat permohonan cerai.

Soalan saya : 

1. Pada pandangan tuan, adakah sah taklik tersebut?

2.  Jika sah taklik tersebut, bolehkah rujuk semula? 

3. Suami betul2 dan terasa hati dengan isteri. Dan rasa hendak melepaskan isteri(untuk mmberi pengajaran). Namun masih memikirkan anak2 kecil. Apakah nasihat terbaik utk suami tersebut?

Maklumbalas dari pihak tuan amat saya hargai. Terima kasih. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Nabi Muhammad SAW menegaskan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai dan rujuk semula (selepas talak)(Riwayat Abu Daud).

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.

Menjawab persoalan tuan di atas, lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklikTalak Taklik adalah lafaz talak yang diucapkan dengan bersyarat. Talak berlaku sekiranya syarat tersebut berlaku.

Dengan kata lain, Talak Taklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu perkara atau masa seperti kata suami kepada isterinya sebagai contoh: “Jika aku mencuri barang-barang tersebut, maka jatuh talak 3.” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perkara yang disyaratkan di dalam taklik tersebut iaitu isteri mengatakan bahawa dia tidak mempercayai dengan apa yang dikatakan oleh suami, maka ia mungkin boleh menyebabkan penceraian atau talak berlaku. Namun perlu diingat bahawa lafaz taklik yang diucapkan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan.  

Walau bagaimanapun, apabila timbul pertikaian antara suami atau isteri, terutama berkaitan kesahihan lafaz taklik atau pertikaian terhadap berlaku atau tidak apa yang disyaratkan di dalam taklik tersebut, maka tuan dan isteri hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz taklik dan perlanggaran syarat taklik yang mungkin berlaku. Tuan perlu memberi keterangan tentang apa yang dilafazkan dan isteri pula tidak wajar berdiam diri sekiranya wujud keraguan dan pertikaian terhadap pelanggaran syarat taklik tersebut.

Seandainya mahkamah menghukumkan jatuh talak tersebut, maka si suami boleh merujuk isterinya semula selagi dalam tempoh iddah dengan menyatakan lafaz rujuk seperti berikut: "Aku rujuk engkau kembali" dan sebagainya. Kemudian lafaz rujuk tersebut perlu dimaklumkan kepada pihak mahkamah untuk diperakui.

Oleh itu, dalam melayari kehidupan berumahtangga, suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menyemai rasa toleransi, sentiasa berbincang, memperbanyakkan kesabaran, serta berfikir sebelum bertindak. Terdapat banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk membina keyakinan dan kepercayaan dalam hubungan, tanpa menjadikan lafaz talak atau taklik sebagai jaminan untuk memperoleh kepercayaan pasangan. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga seharusnya tidak campur tangan dalam urusan rumahtangga anak-anak sehingga membawa kepada perpecahan, kerana tindakan sedemikian bukanlah adab yang diajarkan dalam Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image