BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Ustz/Ustzh. Saya ingin meminta penjelasan berkaitan Nazar. Pada tahun 2021 Bulan Januari, saya disahkan mengandung. Kemudian, Saya benazar untuk mengkhatam alquran sebelum Saya bersalin Bulan oktober tahun yang sama. Tetapi saya tidak sempat menunaikan Nazar Saya. Persoalan Saya, adakah Saya perlu membayar denda kerana tidak dapat tunaikan Nazar tersebut? Dan berapakah kadar bayarannya? Sekian t.kasih. waalaikumusalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan bahawa nazar merupakan suatu ikrar mewajibkan diri sendiri untuk melaksanakan perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ditentukan secara khusus dalam syarak. Nazar boleh dibuat secara mutlak atau dikaitkan (dita'liqkan) dengan sesuatu perkara. Hukum menunaikan nazar adalah wajib.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya seseorang tidak mampu menunaikan nazar yang telah dilakukannya selepas berusaha, maka hendaklah membayar kaffarah nazar tersebut. Firma Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.

Justeru, seseorang yang tidak mampu menunaikan nazarnya hendaklah melaksanakan kaffarah dengan memilih salah satu daripada tiga pilihan berikut: memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau memerdekakan hamba (sekiranya ada). Selain itu, pembayaran kaffarah juga boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri. Sekiranya ketiga-tiga perkara tersebut tidak mampu ditunaikan, maka wajib berpuasa selama tiga hari, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT.

Sila kunjungi Pejabat Majlis Agama Islam terdekat atau klik pautan berikut untuk maklumat lanjut Kaffarah MAIS

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image