BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz, saya bekerja di salah sebuah bank. bidang kerja saya termasuk jualan produk bank dan proses. terdapat 1 ejen tetap yang berikan kes kepada saya untuk diproses. saya tidak pernah meminta sebarang komisen bagi setiap fail yang diproses berikutan itu memang tugas hakiki saya tetapi ejen tersebut memberikan sedikit imbuhan selepas kes tersebut lulus. Saya tidak memberikan sebarang kelonggaran ataupun memberikan keistimewaan pada ejen tersebut. ejen masih perlu menunggu giliran dan saya proses juga mengikut garis panduan yang ditetapkan tanpa membuat sebarang pengubahan untuk menjadikan kes tersebut lulus.

1. adakah komisen diberikan tersebut dianggap rasuah?

2. jika dianggap rasuah bolehkan saya sedekahkan wang tersebut ke masjid sebagai sedekah?

3. jika rasuah bolehkah saya teruskan mengambil dengan tujuan sedekah ke masjid berikutan dapat memberikan sumbangan kepada islam berbanding saya menolak dan tidak mengambil apa2. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan definisi rasuah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu:

Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun”. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan."

Jelas dalam Islam, rasuah adalah salah satu dosa besar yang dilarang dengan keras baik pemberi mahupun penerima. Disebabkan situasi ini berlaku atas dasar kerja rasmi atau kerja hakiki tuan, maka ia termasuk dalam definisi rasuah yang disebutkan.  Dinasihatkan kepada tuan untuk tidak mula terjebak dengan budaya ini walaupuan tuan tidak memintanya atau ia pemberian ikhlas syarikat tersebut. Daripada Ibnu Umar R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الرّاشي والمُرتَشي في النّارِ

Maksudnya: Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam api neraka. (Riwayat al-Thabarani)

Menerima sebarang pemberian, sama ada dalam bentuk hadiah, wang tunai, atau barangan, oleh seorang pegawai atau pekerja atas tugasan yang menjadi tanggungjawabnya boleh dianggap sebagai suatu kesalahan dan dikategorikan sebagai rasuah dalam Islam serta undang-undang.

Sebarang pemberian daripada pihak ketiga hendaklah dimaklumkan kepada pihak majikan atau Ketua Jabatan serta mendapatkan kelulusan rasmi. Jika pemberian tersebut tidak diperakukan, maka ia tidak boleh diterima sama sekali, walaupun dengan alasan untuk tujuan kebajikan atau sedekah.

Ini bagi memastikan integriti dan amanah dalam melaksanakan tugas tetap terpelihara serta mengelakkan sebarang unsur salah guna kuasa dan kepentingan peribadi yang bertentangan dengan prinsip keadilan Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image