BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.

Soalan saya, apakah hukum duit keuntungan hasil melabur di platform atau exchanger yang ada fungsi/produk haram dan riba di dalamnya.

Malah ianya juga tidak di kawal selia oleh SC Malaysia.

Saya ada melabur dan berdagang kripto yang patuh syariah di sana.

Bagaimana dengan keuntungan tersebut, malah saya sendiri sudah tidak pasti berapa nilai untung daripada berdagang dan melabur di platform itu.

Keuntungan tersebut sudah bercampur dengan pendapatan saya yang lain.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-4/2021 telah memutuskan bahawa harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang kripto sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:

  1. Urus niaga melibatkan mata wang kripto hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;

  2. Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:

               i. jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang kripto;

              ii. perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang kripto dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;

              iii. peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang kripto berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan

            iv. undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang kripto. 

    3. Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang kripto hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.

Merujuk kepada persoalan berkaitan pelaburan yang dilakukan menggunakan platform tidak patuh Syariah dan tiada pengawasan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah tidak dibenarkan kerana bertentangan dengan fatwa yang diputuskan. Ia juga boleh dianggap sebagai harta yang dimiliki atau diperolehi melalui jalan atau cara yang tidak diiktiraf oleh syarak kerana terlibat dengan produk haram dan. Perkara ini hendaklah dielakkan dengan menukar kepada platform lain yang diyakini patuh Syariah dan di bawah kawal selia pihak SC. Jika sudah terlibat, keuntungan tersebut hendaklah diberikan kepada pihak Baitulmal sebagai menyucikan hasil pelaburan yang tidak patuh Syariah hanya nilai pokok (asal) pelaburan sahaja yang dibenarkan untuk diambil.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 24

message user image