Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz,
Betul ke message saya dapat ini
Dalam situasi ini, anda asalnya solat sebagai makmum, kemudian ada seseorang datang ingin berjemaah dengan anda, lalu anda menukar niat menjadi imam.
Hukum dalam Mazhab Syafi‘i
Menurut mazhab Syafi‘i, perubahan niat daripada makmum kepada imam adalah tidak sah. Ini kerana solat anda bermula sebagai makmum, dan dalam mazhab ini, seseorang yang sudah menjadi makmum tidak boleh bertukar menjadi imam di tengah solat.
Hukum dalam Mazhab Hanbali
Dalam mazhab Hanbali, dibolehkan seseorang yang solat sendirian (munfarid) bertukar menjadi imam, tetapi tidak ada dalil yang kuat membolehkan makmum bertukar menjadi imam.
Pendapat Mazhab Lain
Mazhab Maliki dan Hanafi juga tidak membenarkan makmum bertukar menjadi imam kerana ia dianggap menyalahi susunan asal solat berjemaah.
Kesimpulan
Jika anda asalnya solat bersendirian (munfarid), kemudian ada orang ingin berjemaah, anda boleh berniat menjadi imam.
Tetapi jika anda asalnya makmum, kemudian ingin bertukar menjadi imam, hukumnya tidak sah dalam mazhab Syafi‘i, Maliki, dan Hanafi.
Oleh itu, jika anda dalam situasi ini, lebih baik selesaikan solat sebagai makmum seperti biasa. Jika ada jemaah lain ingin berjemaah dengan anda, mereka boleh niat mufaraqah (berpisah dari imam asal) dan solat bersendirian, kemudian mereka boleh mengikuti anda selepas anda selesai solat.
Wallahu a‘lam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, niat berjemaah bukanlah syarat sah solat tetapi ia merupakan syarat sah bagi makmum untuk mengikut imam. Dalam kitab at-Taqrirat as-Sadidah dinyatakan bahawa:
Maksudnya: Jika seseorang solat sebagai makmum maka dia wajib berniat berjemaah atau berniat mengikuti imam atau berniat sebagai makmum. Jika dia tidak berniat berjemaah tetapi tetap mengikuti pergerakan imam dengan sengaja menunggu imam selama tempoh satu rukun yang panjang, maka solatnya menjadi batal. Namun, tidak diwajibkan berniat sebagai makmum secara khusus ketika takbiratul ihram.
Justeru dalam hal ini, kenyataan yang diwar-warkan adalah bersalahan dengan konsep iktida' (mengikut) di antara imam dan makmum. Hal ini kerana menurut pandangan muktamad di dalam mazhab Syafi'i, sah bagi seseorang berimamkan makmum yang masbuq. Perihal ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami di dalam Tuhfah al-Muhtaj, katanya:
Maksudnya: Apabila telah terputus ikutan makmum dengan imam seperti apabila imam memberi salam. Maka makmum yang masbuq itu bangun untuk menyempurnakan rakaatnya lalu ada orang lain mengikutinya (dengan menjadikan makmum tersebut sebagai imam) atau keadaan beberapa makmum yang masbuq lalu sebahagian daripada mereka mengikuti sebahagian yang lain (melantik imam dalam kalangan mereka). Bagi keadaan kedua (beberapa makmum yang masbuq lalu sebahagian daripada mereka mengikuti sebahagian yang lain) sah ikutan seperti ini selain dari solat Jumaat berdasarkan pandangan muktamad tetapi makruh.
Berdasarkan kenyataan ini, Imam Syarwani mensyarahkan bahawa keadaan yang membawa kepada makruh adalah bagi situasi kedua iaitu beberapa makmum yang masbuq lalu sebahagian daripada mereka mengikuti sebahagian yang lain. Adapun bagi situasi yang pertama iaitu seseorang yang mengikut makmum yang masbuq adalah sah secara mutlak. Justeru dapat difahami bahawa sah bagi seseorang menunaikan solat berimamkan makmum yang masbuq. Tambahan pula, kenyataan yang menyatakan tidak sah menukarkan niat makmum kepada imam adalah tidak benar kerana seseorang imam tidak disyaratkan niat sebagai imam dalam solat berjemaah mengikut pandangan mazhab Syafi'i. Ini berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ bahawa:
Maksudnya: Pandangan yang benar ialah niat menjadi imam tidak wajib dan tidak disyaratkan untuk keabsahan solat makmum mengikuti imam. Pandangan ini disepakati oleh jumhur ulama syafi’iyyah.
Sekian, terima kasih.