Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustad, saya merasakan sangat sukar untuk saya elakkan najis. Pertama di dapur, di singki , peti ais Dan tempat2 di mana Mak saya letakkan barang mentah seperti ikan Dan ayam. Kemudian, rumah saya selalu ada tahi cicak di dalam Dan di luar rumah. Di luar saya hanya sapu sahaja Dan tidak membasuhnya, akan tetapi di dalam saya Cuba untuk membasuhnya (lap guna kain buruk). Seterusnya saya selalu membasuh kain yang lap najis menggunakan shower di bilik air Dan air percikannya memang tidak dapat dielakkan, bukankah saya hanya perlu tukar pakaian sekiranya terdapat bau warna Dan rasa pada pakaian saya? Saya merasakan sangat sukar untuk bersuci dari najis, bolehkah saya mengikut pandangan mazhab lain yang menyatakan apabila sudah kering itu sudah suci? Akhir sekali, saya merakan sukar juga untuk mengambil wuduk. Ketika membasuh bahagian muka, saya risau yang ada bahagian yang tidak kene seperti di bahagian bawah jawline Dan Dagu serta pada kawasan di bawah cuping telinga, serta kawasan sideburn. Saya mohon ustad2 untuk menjawab persoalan saya, terima kasih Dan selamat berpuasa.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa sesuatu bahagian itu menjadi najis jika yakin nampak ain najis, rasa atau bau dan dengan kehadiran sifat-sifat tersebut barulah kita dituntut untuk menghilangkan ainnya terlebih dahulu dan membersihkannya. Jika tiada atau sekadar andaian dan rasa-rasa, maka sikap tersebut perlu diabaikan.
Permukaan najis yang kering bersentuhan dengan barang yang kering tidak memindahkan sifat najis. Maka memadai menghilangkannya dengan tisu, kain atau penyapu (dengan syarat digunakan dalam keadaan kering) lalu membuangnya. Adapun tisu, kain atau penyapu (kering) yang digunakan untuk membuang tahi cicak yang kering tersebut adalah bersih.
Kain yang dibasuh selepas digunakan untuk mengelap najis kering tersebut dihukumkan sebagai suci dan air yang terpercik tersebut bukanlah air yang bernajis.
Berusahalah untuk mengamalkan seperti mana saranan dan sunnah Rasulullah SAW dengan mengambil fadhilat membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali dan perbuatan tersebut sudah memadai bagi memenuhi syarat-syarat sah wuduk.
Perkara yang dihadapi oleh tuan sekarang adalah perasaan was was. Beberapa catatan ulama’ telah mengesyorkan untuk menghilangkan perasaan was was ini antaranya;
a. Mengambil sikap tidak peduli, iaitu dengan mengabaikan perasaan was-was tersebut.
b. Bersabar dan terus mencuba menghilangkan was-was. Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji, iaitu ujian menentang syaitan.
c. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih. Dengan mempelajari ibadah yang sempurna dapat membantu menghindari penyakit was-was ini.
d. Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT. Ini kerana bisikan syaitan sentiasa menyebabkan perasaan was-was kepada manusia. Perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha mengekangnya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Fussilat : 36)
Sekian, terima kasih.