Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan apabila sesorang berjudi dalam game contoh untuk mendapatkan sesuatu item dan sebagainya,tapi hanya bergantung atas nasib contoh dia perlu spin dalam events tertentu untuk dapatkan item yang baik,kalau nasib baik dia dapat item yang diinginkan kalau tidak dia dapat item yang murah,dan sebelum dia spin dia perlu beli dulu beberapa coins atau diamond menggunakan wang sebenar.Hukumnya jelas haram!Tapi soalan saya selepas dia insaf dan bertaubat,dia masih main game tersebut tapi dia sudah meninggalkan apa² unsur yang melibatkan judi,dia tak lagi spin apa² event bila ada.Dia hanya main game tersbut,apa hukumnya dia masih main game menggunakan item dari hasil judi tersebut?Adakah dia harus buang item tersebut atau dia boleh guna?Adakah perlu dia delete account game tersebut?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam Islam, berjudi dalam permainan dengan harapan mendapatkan item tertentu adalah haram kerana mengandungi unsur perjudian (maysir) yang dilarang. Ini kerana pemain mempertaruhkan wang untuk mendapatkan sesuatu dengan bergantung sepenuhnya pada nasib.
Jika seseorang telah bertaubat daripada perbuatan tersebut dan tidak lagi terlibat dengan unsur perjudian dalam permainan, maka jalan yang lebih selamat adalah menghapuskan atau membuang item-item yang diperolehi daripada unsur perjudian tersebut. Ini adalah sebagai kaedah untuk membersihkan diri daripada harta yang syubhah dan menjauhi perkara yang haram. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah Al-Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat al-Bukhari)
Hukum asal bermain permainan video adalah harus, dengan syarat ia tidak mengandungi unsur haram seperti judi, pembaziran harta, atau melalaikan daripada tanggungjawab utama seperti solat, kerja, dan kewajipan terhadap keluarga. Namun, dalam keadaan di mana permainan tersebut tidak mendatangkan manfaat, malah lebih cenderung membuang masa yang berharga, maka meninggalkannya adalah lebih utama. Hal ini kerana masa lapang adalah nikmat yang sering dilalaikan, sedangkan ia merupakan salah satu perkara yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW daripada Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami RA:
Maksudnya: Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal mengenai empat perkara. Mengenai umurnya, di manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia peroleh dan ke manakah dia belanjakan? Dan tubuh badannya, apakah yang sudah dia perbuat?” (Riwayat Al-Tirmidhi)
Sekian, terima kasih.