Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin bertanya, saya ada memakai krim sapu (ubat) pada bukan anggota wudhu. Namun ubat tersebut terkena pada pakaian untuk mendirikan solat. Adalah krim (ubat) itu najis dan adakah sah solat saya jika krim itu ada pada pakaian untuk saya mendirikan solat.
Terima kasih atas jawapan yang akan diberikan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sebagai umat Islam pertama dan utamanya wajib memastikan kandungan krim sapu (ubat) yang digunakan itu adalah suci dan bersih dari segala najis dan benda yang haram. Hal ini bertepatan di dalam surah al-Baqarah ayat 173:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.
Justeru, apabila sudah dipastikan bahawa krim sapu (ubat) tersebut tidak ada padanya elemen yang diharamkan seperti diperbuat dari arak, khinzir atau najis yang bersumberkan binatang yang tidak disembelih mengikut syarak, maka hukum memakai krim sapu (ubat) tersebut adalah diharuskan. Oleh itu, krim sapu (ubat) yang memenuhi kriteria tersebut menjadikan ia sebagai suci dan bersih maka krim yang terlekat pada pakaian juga dikira bersih dan suci.
Sekian, terima kasih.