BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya nak tanya. Saya ada dengar ceramah ustaz azhar idrus pasal asal usul Hari Valentine. Ini link videonya https://youtu.be/YJkIA92BX_I?si=tuWDUwOLdk5uJDyT. Jadi, saya memang tak sambut pun, sebab saya sendiri tak ada pasangan. Tapi kadang saya ada layan selebriti yang bukan Islam, ada mereka upload video mereka sambut valentine. Saya tengok sebab saya suka couple tu saja. Maklum saya juga tahu layan video sebegitu haram tapi adakah dengan saya layan video mereka sambut valentine tanpa komen atau like pun video tu, sekadar tengok saja dikira menyambut juga valentine?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِين

Maksudnya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

Seumpama video tersebut, ia tidaklah menambahkan keimanan seseorang atau semangatnya untuk menegakkan agama Allah SWT. Ia hanyalah sebuah video yang melalaikan dan tidak memberikan sebarang faedah kepada penonton, bahkan boleh mendorongnya ke arah kemaksiatan yang telah jelas pengharamannya oleh syara‘.

Maka, lebih baik elakkan diri daripada menonton video-video yang meraikan sambutan yang diharamkan seperti sambutan valentine day kerana dengan tontonan puan itu akan menaikan rating dan capaian video tersebut menjadi lebih tinggi. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ                                            

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 14

message user image