Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Baru baru ini saya telah menyertai kelas daurah fiqh wanita dan saya belajar jika wanita mengeluarkan mani dengan sendiri pada umur 9 tahun dikira baligh. Persoalannya, jika wanita tersebut haid pada umur 13 tahun. Adakah wajib menggantikan solat pada umur 9-13 tahun tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, para fuqaha’ bersepakat menetapkan bahawa keluar air mani dalam keadaan tidur, bermimpi, sedar ataupun berusaha mengeluarkannya dengan sengaja seperti beronani atau sebagainya termasuk dalam tanda seseorang itu menjadi baligh. Namun, ulama menentukan masa atau umur yang minimum keluarnya mani seseorang itu secara matang dan dikira sebagai baligh ialah 9 tahun. Imam al-Nawawi menyatakan:
Maksudnya: Keluar air mani ketika sampai waktunya iaitu sempurna umur seseorang itu sembilan tahun.(Minhaj al-Tolibin wa Umdah al-Muftin, ms. 123)
Oleh itu, bagi kanak-kanak lelaki yang mengeluarkan air mani dengan sengaja (onani) dihukumkan sebagai baligh dengan syarat umur kanak-kanak tersebut adalah 9 tahun. Manakala bagi kanak-kanak perempuan yang melakukan onani sehingga klimak sehingga mengeluarkan cecair nikmat secara merembes atau memancut, maka dia telah dianggap sebagai baligh.
Justeru, jika pada umur 9 tahun tersebut sudah atau pernah mengeluarkan air mani dengan sengaja di mana tempoh tersebut merupakan umur yang sudah layak dikira sebagai baligh meskipun belum didatangi haid, maka solat yang tidak dilaksanakan pada umur tersebut perlu diqada’. Disarankan untuk mengqada’ solat tersebut secara berperingkat agar tidak terbeban dan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Sekian, terima kasih.