Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Mohon pertolongan daripada ustaz2. Saya sudah berkahwin. Masalah yang saya hadapi ialah saya bergaduh dengan isteri saya. Ketika itu kami berada di rumah mak ayah saya di kampung. Pergaduhan tak berlaku bersemuka tetapi di dalam aplikasi whtsp. Kami berdua tidak bercakap. Ketika pergaduhan berlaku, saya berada di bilik lain dan isteri berada di bilik lain. Isteri telah membuat saya marah melampau dengan membawa lari anak saya balik ke rumah ibu bapanya di depan ibu saya. Pada waktu itu saya masih berada di dalam bilik dan ibu saya sedang memasak ditemani anak-anak. Ibu saya masuk ke bilik saya dan memberitahu yang isteri telah menarik tangan anak-anak dan membawa masuk dalam kereta. Selepas mereka pergi, saya tidak dapat mengawal perasaan marah saya. Saya telah mengeluarkan ayat ini di depan ibu saya, " kalau dia (isteri) datang sini lagi iaitu rumah ibu bapa saya, maka jatuh talak 3". Tolong beri pencerahan kepada saya. Terima kasih tuan.
Jawapan
Merujuk kepada situasi tersebut dan lafaz berbunyi: "kalau dia (isteri) datang sini lagi iaitu rumah ibu bapa saya, maka jatuh talak 3", ia merupakan lafaz taklik yang sorih (jelas) maksudnya. Sekiranya isteri datang lagi ke rumah ibu bapa suami, maka jatuh talak 3. Lafaz taklik ini tidak boleh ditarik balik dan ia kekal sepanjang perkahwinan sehingga berlaku penceraian atau pembubaran perkahwinan secara talak ba'in lalu bernikah semula dengan akad yang baharu, maka kesan taklik tersebut akan hilang. Saudara boleh hubungi Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.