BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

 

Tuan/Puan,

Saya ingin bertanya tentang akaun simpanan KWSP saya yang didaftarkan oleh syarikat yang pernah saya bekerja dahulu. Saya bekerja di sana selama lebih kurang 2 tahun dan baru sahaja berhenti pada bulan 4 2024. Baru-baru ini, saya dikehendaki untuk mendapatkan maklumat nombor akaun KWSP saya bagi tujuan pekerjaan baru saya. Akan tetapi, apabila saya semak semula akaun KWSP saya, akaun KWSP saya didaftarkan di bawah akaun konvensional. Saya tidak pernah tahu bahawa akaun KWSP saya itu didaftarkan di bawah akaun simpanan konvensional. Tetapi, saya terus membuat penukaran jenis akaun saya dari konvensional kepada akaun simpanan shariah. Soalan saya, bagaimana pula dengan duit simpanan saya yang sebelum ini didaftarkan di bawah akaun konvensional? Bolehkah duit itu saya gunakan pada masa yang akan datang? 

 

Mohon penjelasan pihak Tuan/Puan. Segala maklumbalas saya dahului dengan ucapan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) kali ke-4/ 2015 yang bersidang pada 19 Oktober 2015 bersamaan 6 Muharram 1437H memutuskan bahawa: 

i. KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke akaun KWSP-Islamik.

ii. Pencarum yang beragama Islam wajib mencarum dalam akaun KWSP-Islamik.

iii. Pihak KWSP hendaklah mengamalkan pelaburan yang patuh Syariah. 

Berdasarkan fatwa di atas, maka harus untuk menggunakan duit simpanan tersebut. Namun, jika selepas fatwa ini dikeluarkan dan puan tidak menukar ke akaun KWSP-Islamik, wang simpanan pokok sahaja yang boleh digunakan manakala dividen yang diperolehi hendaklah diserahkan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri sebagai usaha membersihkan hasil harta yang tidak patuh Syariah. Terdapat perincian tentang kaedah pengiraan bagi dividen yang diterima sebelum bertukar ke KWSP-Islamik, boleh dapatkan maklumat lebih terperinci dari KWSP, klik KWSP Simpanan Shariah untuk maklumat berkaitan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image