BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya akan pergi ke Bangkok selama 4 hari 3 malam bersama 3 orang rakan saya. Pada hari ketiga, saya dan seorang rakan akan pergi ke konsert manakala pada hari lain kami akan berjalan-jalan di sekitar Bangkok. Soalan saya, adakah saya dan kawan saya yang akan pergi ke konsert tidak dibenarkan untuk solat secara jamak dan qasar sepanjang 4 hari, termasuk hari perjalanan pergi dan balik?

 

 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara asasnya solat jamak dan qasar adalah rukhsah yang boleh dilakukan jika seseorang itu bermusafir ke destinasi yang melebihi 2 marhalah (81 kilometer) dari tempat asalnya. Antara syarat-syarat yang membenarkan jamak dan qasar ialah; 

  1. Perjalanan yang jaraknya 81 km dan lebih.
  2. Perjalanan yang tentu tujuannya (bukan merayau).
  3. Perjalanan yang tidak bertujuan maksiat.
  4. Solat fardhu yang diqasarkan berkenaan wajib ke atas seseorang yang bermusafir dan melakukannya semasa bermusafir itu
  5. Perjalanannya telah melepasi sempadan qaryah
  6. Tidak berniat menetap selama 4 hari atau lebih di tempat yang dituju (tak termasuk hari datang & pulang).
  7. Tidak mengikuti imam solat yang bermukim.

Namun dalam hal ini boleh dikategorikan kepada dua situasi, sekiranya konsert tersebut tidak berunsurkan maksiat, maka permusafiran tersebut sah untuk dilaksanakan solat secara jamak dan qasar bermula hari perjalanan sehingga hari pulang. Adapun jika konsert tersebut mengandungi unsur-unsur maksiat seperti konsert yang melalaikan dan bercampur batas pergaulan antara lelaki dan perempuan maka permusafiran tersebut tidak mendapat rukhsah. Mereka tidak boleh mengerjakan solat secara jamak dan qasar bermula daripada hari perjalanan sehingga hari pulang sebaliknya perlu melaksanakan solat secara tamam (sempurna). 

Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Rawdhah al-Talibin ketika menghuraikan tentang rukhsah qasar, katanya:

وأَمَّا كَوْنُ السَّفَرِ مُبَاحًا فَمَعْنَاهُ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَعْصِيَةٍ، سَوَاءً كَانَ طَاعَةً أَوْ تِجَارَةً، وَلَا يَتَرَخَّصُ فِي سَفَرِ الْمَعْصِيَةِ، كَهَرَبِ الْعَبْدِ مِنْ مَوْلَاهُ

Maksudnya: Maksud sesuatu pemusafiran itu mestilah musafir yang diharuskan pada syarak bukan kerana (tujuan) maksiat, sama ada permusafiran dalam perkara ketaatan atau perniagaan. Bagi permusafiran bertujuan maksiat pula, tidak mendapat rukhsah (mengerjakan qasar) seperti seorang hamba melarikan diri daripada tuannya…

Puan juga boleh merujuk artikel yang bertajuk "Solat Jamak Qasar Bagi Permusafiran Bertujuan Maksiat" di pautan berikut:

https://www.muftiselangor.gov.my/2024/05/21/56-taudhih-al-hukmi-solat-jamak-qasar-bagi-permusafiran-bertujuan-maksiat/

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image