BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Semoga ustaz sentiasa dalam rahmat Allah swt.

Ustaz, sebelum ini saya bekerja sebagai doktor di hospital kerajaan, namun disebabkan status kontrak dan tekanan di tempat kerja, saya ada terfikir untuk masuk swasta dalam bidang estetik. Saya banyak kali berdoa dan buat solat istikharah sebelum membuat keputusan dalam setahun juga, agar Allah memberikan saya petunjuk. Kemudian, terjadi satu perkara yang buruk di tempat kerja di mana saya dimarahi dgn teruk oleh supervisor saya, dah saya juga pada masa yang sama lepas temuduga untuk bekerja di klinik estetik. Saya menggangap itu sebagai petunjuk agar saya berhenti kerana jalan saya dimudahkan.

Namun, setelah bekerja di klinik estetik, saya berpendapat terdapat beberapa prosedur dilakukan yang terlarang, seperti suntikan botox dan filler. Sekarang saya rasa keliru, adakah Allah memberi petunjuk yang salah buat saya? Mengapa mudahkan jalan ke arah yang terlarang walaupun saya telah buat solat istikharah?

Selain daripada itu ustaz yang dihormati, saya juga ingin bertanya mengenai prosedur di klinik estetik. Adakah rawatan di bawah dibenarkan agar saya boleh sambung bekerja -

1 Rawatan jerawat

2 Rawatan parut jerawat menggunakan ablative laser/ microneedling

3 Rawatan pigmentasi

4 Rawatan untuk kulit sagging/ wrinkles/ fine lines menggunakan HIFU 

Terima kasih ustaz

 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa solat istikharah adalah sunah yang diajarkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah RA:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

MaksudnyaRasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda: sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda: sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda: Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya. (Riwayat al-Tirmizi)

Hukum solat istikharah adalah sunat dan ia amat digalakkan sewaktu seseorang berasa berat hati atau keliru untuk membuat keputusan. Begitu juga ketika ingin menentukan sesuatu keputusan dan sebagainya. Maka istikharah boleh dibuat agar Allah SWT memudahkan usaha yang kita lakukan. Antara tanda-tanda jawapan bagi istikharah yang dibuat adalah seperti mendapat mimpi, gerak hati terhadap sesuatu atau dipermudahkan urusan yang baik. Istikharah bukanlah semata-mata untuk memohon jawapan daripada Allah SWT. Sebaliknya, ibadah ini menunjukkan kebergantungan hamba kepada Pencipta kerana yakin bahawa Dia sahaja yang mampu mengawal kehidupan ini bahkan ia juga adalah satu doa agar membimbing kita ke arah yang terbaik, meskipun ujian dan cabaran tetap boleh berlaku.

Berkenaan dengan rawatan estetik pula, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 11 Ogos 2015 telah memutuskan bahawa harus menjalani rawatan estetik dan pembedahan plastik di sisi Islam dengan syarat tiada kemudharatan kepada kesihatan dan dan tidak merubah ciptaan Allah SWT. Oleh itu dapat difahami bahawa rawatan yang bertujuan menghilangkan kecacatan atau mengembalikan keadaan asal tubuh manusia secara umumnya dibenarkan, manakala rawatan yang bertujuan mengubah ciptaan Allah tanpa keperluan syar’ie adalah dilarang. Sebarang rawatan yang menggunakan bahan-bahan terlarang seperti botox dan filler untuk tujuan kecantikan adalah haram kerana ia jelas mengubah ciptaan Allah SWT.

Adapun berkenaan rawatan yang lain dapat dijelaskan seperti berikut:

1. Rawatan Jerawat – Harus jika bertujuan mengurangkan masalah kulit.

2. Rawatan Parut Jerawat (Ablative Laser / Microneedling) – Harus jika bertujuan menghilangkan kesan kecacatan.

3. Rawatan Pigmentasi – Harus jika bertujuan untuk mengembalikan warna kulit asal yang mengalami perubahan akibat masalah kulit.

4. Rawatan Kulit Sagging / Wrinkles / Fine Lines menggunakan HIFU – Jika ia bertujuan menegangkan kulit bagi menghilangkan tanda penuaan semata-mata tanpa keperluan perubatan, maka ia diharamkan kerana termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah SWT. Tambahan pula, seseorang yang menjalankan rawatan untuk menghalang proses penuaan seolah menafikan fitrah semulajadi yang akan dilalui oleh setiap insan dalam meniti usia lanjutnya.

Sebagai kesimpulan, dinasihatkan agar puan menjauhi sebarang proses rawatan yang mengubah ciptaan bentuk asal kejadian serta tidak menawarkannya kepada pesakit sekiranya tiada keperluan untuk memastikan sumber pendapatan diberkati Allah SWT. Namun begitu, Islam menekankan kepentingan mencari rezeki yang halal dan mendapat keberkatan daripada Allah. Sumber pendapatan yang halal lahir daripada pekerjaan yang tidak melibatkan perkara haram atau unsur syubhah selaras dengan tuntutan syariat. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menyediakan jalan keluar yang terbaik bagi hamba-Nya yang bertakwa, berusaha memperoleh rezeki yang halal, dan menjauhi pekerjaan yang diharamkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 13

message user image