Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...
Suami saya pernah ceraikan saya dengan talak 1 melalui whatsapp pada tahun 2020 namun tak sampai 1 jam kami telah rujuk balik...hal ni tak pernah dirujuk pada mana-mana pihak yang berwajib...kami tak pasti samada sah jatuh talak atau tak tapi suami pernah cakap dia memang ada niat masa whatsapp saya tu setelah putus-asa dengan perkahwinan kami (beberapa minggu kebelakangan kami kerap bergaduh dari hal-hal kecil sehingga la ke hal-hal besar)...
Lebih kurang sebulan yang lalu ada insiden kecik yang menjadi perbalahan kami didalam kereta...masa saya keluar kereta untuk beli air saya ternampak suami seolah-olah cakap sesuatu sambil muka tak puas hati dan mengelak dari saya ternampak...jadi tanpa pengetahuan suami saya telah download recording dashcam kereta...masa saya dengar recording tu memang hati hancur sangat-sangat...tepat seperti yang saya sangka...suami marah-marah cakap "kau tengok recording ni kau dengar sini...aku memang nak ceraikan kau..kau tengok la...aku dapat kerja baru nanti bukan sebab aku nak hidup senang dengan kau tapi sebab aku memang nak ceraikan kau...nanti aku dah settlekan semua sekali (hutang-hutang) aku ceraikan kau...kau tunggu la...bodoh nak mampus..." ada lagi ayat-ayat yang merobek hati saya yang suami cakap...memang hati saya hancur masa tu bila dengar...tak sangka kerana pergaduhan isu kecik je tapi suami sanggup marah sampai cakap macam tu...memang suami tengah cari kerja baru sebelum tu dan ketika itu memang suami tengah tunggu keputusan kerja baru yang mana suami telah diberitahu yang syarikat baru memang berminat nak ambil dia bekerja...mereka minta suami saya tunggu sehingga diberitahu bila tarikh boleh mula kerja baru tapi sampai sekarang tak dapat jawapan...
Adakah lafaz cerai yang pertama kali sah? Adakah yang suami lafaz dalam dashcam tu lafaz taklik?
Jawapan
1. Menjawab pertanyaan puan, mana-mana lafaz talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp atau seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
2. Merujuk kepada ucapan suami puan yang dirakam melalui dashcam kereta itu, ia hanyalah suatu perkhabaran atau kenyataan daripada suami sekiranya suami dapat kerja baru dan dia dapat melunaskan segala hutang-hutangnya maka dia boleh menceraikan isterinya. Ini bermakna, sekiranya suami telah berjaya mendapatkan pekerjaan baru serta mampu melunaskan hutang-hutangnya tersebut dan kemudian mahu menceraikan isterinya, maka suami perlu dan boleh melafazkan cerai kepada isteri.
Walaubagaimana pun, untuk mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkaitan perkara ini, maka puan boleh adukan perkara tersebut kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana puan tinggal dalam kadar segera.
Sekian, terima kasih.