Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum WBT. Saya ada pertanyaan berikut: 1. Mengapa iman naik dan turun? Sebab sebelum ini saya pernah berazam untuk membaca solat tahujud setiap malam. Mula- mula saya laksanakan. Tapi lama kelamaan tidak konsisten. Begitu juga dengan amalan bulan Ramadhan baca Al-Quran 5 muka surat sehari tapi lama kelamaan makin berkurang dan ada yang tinggal 1 ayat paling kurang setiap hari. Tu pun sebab saya pastikan ada al-Quran dalam kereta, saya baca 1 ayat sebelum pergi kerja. Saya juga dulu sebelum tidur akan berselawat 40 kali setiap hari malam tapi setiap amalan sukar untuk secara konsisten. Ketika amalan selawat yang saya lakukan. Saya juga sempat bermimpi Nabi Muhammad SAW di padang pasir. Itu mimpi saya 3 tahun lepas. Cuma alangkah indahnya kalau saya dapat lakukan amalan2 ini secara konsisten. Buat pengetahuan Pejabat Mufti, saya bukanlah seorang alim ulamak, saya insan biasa sahaja. Cuma ingin cuba tingkatkan amalan walaupun sedikit tapi konsisten.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". (Ali-Imran : 173) Begitu juga firman Allah : Maksudnya : “Apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (al-Anfal : 2) Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: لا يزنى الزانى حين يزنى وهو مؤمن ولا يسرق حين يسرق وهو مؤمن ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن والتوبة معروضة بعد Maksudnya : “Tidak sempurna iman seorang penzina di kala ia berzina, dan tidak sempurna pula iman seorang pencuri di kala ia mencuri, dan tidak sempurna pula iman seorang pemabuk di kala ia minum khamar, sedangkan pintu taubat sentiasa terbuka sesudah itu” (Riwayat Muslim) Justeru, sememangnya terdapat banyak sebab yang mempengaruhi perkara tersebut. Antaranya ialah:- i) Ilmu. Ibadah tidak akan sempurna tanpa ilmu kerana tanpanya ibadah dipandu secara membuta-tuli. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud: Maksudnya : “Sebenarnya yang takut (melanggar perintah) kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu” (al-Fatir: 28) ii) Khusyuk. Iaitu kelembutan hati, penumpuan hati/diri sepenuhnya terhadap sesuatu. Banyak cara bagi mendapatkan khusyuk dalam ibadah dan hasilnya akan menerbitkan kemanisan dalam beribadah yang pasti sukar untuk ditinggalkan. Oleh itu, Allah SWT menjanjikan orang yang khusyuk adalah orang yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya : “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” (al-Mukminun: ayat 1-2) iii) Bergaul dan berdampinglah dengan orang yang baik-baik khususnya para alim. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda : Maksudnya : “Seseorang itu terletak pada agama rakannya, sehingga masing-masing kamu sebaiknya melihat kepada siapa dia mengambil rakannya” (Riwayat al-Tirmidzi) iv) Lakukan ibadah mengikut kemampuan kita. Jangan terlalu berlebihan sehingga melahirkan rasa bosan dan membebankan. Dua rakaat sunat tahajud yang rutin kita kerjakan setiap malam, lebih baik daripada 1000 rakaat yang kita lakukan sekali sahaja seumur hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, ambillah amalan yang kamu mampu lakukannya (dengan rutin). Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehinggalah kamu jemu. Dan amalan yang paling Allah cintai adalah apa yang dilakukan dengan istiqamah, meskipun sedikit”. (Riwayat al-Bukhari) v) Sentiasa berdoa kepada Allah SWT, jangan pernah merasa cukup atas ibadah dan kebaikan yang kita lakukan. Sentiasa memohon dan meminta ketetapan iman dan tidak terpesong daripada jalan yang Allah redai. Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa doa yang selalu dipanjatkan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai Allah, tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.". Umi Salamah: "Ya Rasulullah, mengapa tuan selalu berdoa seperti ini?" Baginda menjawab: "Wahai Umi Salamah, setiap hati anak Adam berada di antara dua jari jemari Allah. Jika Allah kehendaki, Dia akan menjadikannya lurus. Dan jika Dia kehendaki maka Dia akan menjadikannya condong kepada kesesatan” (Riwayat al-Tirmizi) vi) Riya’ dalam beribadah. Ali bin Abi Thalib r.a, berkata: “Tanda orang yang riya’ itu ada tiga: 1. Malas jika sendirian, 2. Bersemangat jika bersama-sama manusia, 3. Bertambah semangat jika dipuji dan lemah semangat jika dicela. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan perbuatan sum’ah (ingin di dengar oleh orang lain), niscaya Allah akan menyebarkan aibnya, dan barangsiapa melakukan perbuatan riya’, niscaya Allah akan menyebarkan aibnya” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.