Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ade pertanyaan, jikalau seseorang sudah biasa melakukan puasa nabi daud, tetapi dalam setiap bulan ade hari putih(13/14/15), adakah dibolehkan untuk berpuasa berterusan menggabungkan puasa nabi Daud dengan hari putih berkenaan? dan jika dilaksanakan juga adakah salah disisi hukum?
Sekian terima kasih
Jawapan
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak ada puasa yang lebih afdhal dari puasa Nabi Daud. (Puasa Nabi Daud bererti) sudah berpuasa separuh tahun. Maka, berpuasalah pada hari-hari yang bergantian.
(Riwayat al-Bukhari)
Tatacara puasa Nabi Daud adalah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu puasa selang sehari. Adapun jika bermula puasanya hari Isnin, maka Selasa dia tidak berpuasa dan seterusnya (selang-seli). Berkenaan dengan puasa Nabi Daud beserta hari putih, diharuskan untuk menggabungkan beberapa niat dalam satu puasa sunat, terutama jika pelaksanaan puasa sunat itu bertembung dengan hari-hari yang digalakkan puasa seperti puasa hari putih. Tiada halangan untuk menyambung puasa putih selama 3 hari berturut-turut walaupun sedang beramal dengan puasa Nabi Daud.
Sekian, terima kasih.