Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada 1 soalan dan nak dapat kan kepastian, beberapa bulan yang lepas saya dan isteri ada bertengkar dan masa itu saya ada bercakap dengan isteri kalau ekonomi saya tak berubah dan projek saya tak jalan pada bulan 12, saya akan lepas kan isteri saya dengan rela, isteri saya pun bersetuju. Tetapi dalam bulan 12 saya ada dapat keputusan tentang projek saya dan selepas berbincang dengan isteri, kami bersetuju untuk meneruskan kembali hubungan rumah tangga kami, jadi saya perlu kan nasihat dalam status hubungan kami, apakah yang perlu saya lakukan?
Jawapan
Lafaz yang suami nyatakan kepada isteri tersebut adalah satu kenyataan hasrat atau khabari sahaja dan ia tidak membawa kepada taklik talak atau cerai. Ia adalah sekadar hasrat suami yang membawa maksud, kalau ekonomi suami masih belum berubah maka suami akan menceraikan isterinya. Seandainya ekonomi benar-benar tidak berubah dan suami ingin menceraikan isteri, maka suami perlu melafazkan talak atau cerai. Namun, jika suami tidak mahu meneruskan niatnya, maka suami boleh untuk tidak menceraikan isterinya.
Oleh yang demikian, dalam kehidupan berumahtangga ini, pasangan hendaklah sentiasa menanamkan serta menyemai sifat sabar serta tawakal yang tinggi kepada Allah SWT. Banyakkan doa serta munajat kepada Allah SWT agar rumahtangga puan dan suami sentiasa berada di bawah rahmat dan keberkatan Allah Taala.
Sekian, terima kasih.