Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Kami berkahwin atas dasar keluarga. Isteri saya tidak membenarkan saya sentuh/mendatangi dia. Malah dia meminta untuk berpisah/cerai.
apakah hukum nya untuk dua perkara tersebut?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan:
Secara asasnya di antara tanggungjawab isteri adalah mentaati perintah suaminya pada perkara yang maaruf atau baik selagi tidak bercanggah dengan hukum syara. Bahkan, terdapat hak-hak suami yang perlu dilunaskan oleh seorang isteri antaranya adalah hubungan seksual antara pasangan suami isteri dalam perkahwinan. Persetubuhan suami isteri juga termasuk dalam tujuan perkahwinan serta menjaga keturunan (Hifz al-Nasal). Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram.
Dan isteri boleh dihukumkan nusyuz apabila isteri itu menolak hubungan seksual walaupun dalam bentuk memegang pada anggota yang dipilih suami. Namun tidak dianggap nusyuz isteri menolak kerana uzur seperti wanita tengah sakit yang membawa mudarat dengan bersetubuh, farajnya luka dan sedang haid. Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan dalil yang menunjukkan ancaman.
Ancaman yang dimaksudkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” (Riwayat al-Bukhari)
Kesimpulannya, isteri dilarang menafikan hak suami ke atas dirinya, bahkan menolak permintaan suami untuk bersetubuh dengan memberi helah adalah berdosa besar melainkan pada keuzuran syara seperti ketika haid, nifas, keadaan zihar, sakit dan ketika ihram.
Adapun berkaitan isteri ingin berpisah atau bercerai, pada asasnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab syar’ie. Ini berdasarkan hadis daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Yang maksudnya: Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan, maka haram baginya bau syurga. (Riwayat al-Tirmidzi).
Hadis di atas menjadi dalil bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai kecuali jika ada alasan dibenarkan. Namun begitu syara mengharuskan bagi isteri meminta cerai apabila berlaku sesuatu keadaan yang tidak dapat dielak yang boleh menyebabkan berlakunya mudarat kepada isteri seperti kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri, suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat, suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar dan lain-lain lagi.
Sekian, terima kasih.