Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum. Saya ingin nak tanya mengenai wali nikah. Kawan perempuan saya ini seorang bujang. Dia telah kematiaan Ayah dan Datuknya. Dia mempunyai adik beradik lelaki yang ramai. Dia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan adik beradik lelakinya. Sejak dari kecil dia telah di anaya oleh mereka. Dia telah tawar hati dan tidak mahu mereka menjadi walinya tapi dia telah meminta izin kepada salah seorang mereka untuk mengizikan menggunakan wali hakim. Abangnya yg nombor ke-3 daripada 5 adik beradik lelaki telah mengizinkan.
1.Adakah dia boleh menggunakan wali hakim?.
2. Boleh ke adik beradik lelaki seibu sebapa tidak ikut turutan menjadi wali?
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudari :
1. Seseorang perempuan boleh berkahwin berwalikan wali Hakim dalam beberapa keadaan:
a) Tiada wali nasab
b) Wali ghaib atau hilang yang tidak dapat dihubungi.
c) Wali enggan untuk menikahkan dengan sebab yang tidak dibenarkan atau alasan yang tidak diterima oleh syara.
d) Wali berada jauh lebih dari 2 marhalah dari tempat di mana perempuan itu berada.
Dalam kes kawan saudari ini, dia masih mempunyai wali nasab iaitu adik beradik lelaki maka dia tidak boleh menggunakan wali hakim kecuali ada sebab seperti yang dinyatakan di atas.
2. Adik beradik lelaki seibu sebapa, boleh sesiapa sahaja di kalangan mereka untuk menjadi wali kepada saudara perempuan mereka.
Sekian, terima kasih.