BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Semasa zaman remaja saya mengaku saya agak jahil dalam bab agama. Puasa yang tertinggal saya tidak ganti dan tidak pernah membayar fidyah. 

Soalan saya

Untuk membayar sekaligus tidaklah saya mampu kerana setiap bulan saya makan anak beranak cukup-cukup sahaja. Bolehkan saya beli 1kg beras setiap bulan dan sedekahkan kepada yang memerlukan ?  Berapa banyak yang saya perlu bayar jika sekiranya saya tak tahu pon berapa banyak puasa yang saya tinggal.? 

 

Mohon beri pencerahan pada saya. Saya betul- betul rasa bersalah berdosa dan tidak tenteram. 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, puasa Ramadhan merupakan puasa yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang mukallaf, jadi, ia mestilah diganti (qada’ puasa) jika meninggalkannya dengan sengaja. Merujuk kepada persoalan, puan hendaklah mengganti puasa dan membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan bermula tempoh yang diyakini hingga kini. Kiraan ganti puasa mestilah dikira berapa hari ditinggalkan setiap tahun. Sebagai contoh sekiranya puan meninggalkan puasa dalam tempoh 6 tahun maka kiraannya adalah seperti berikut: 30 hari x 6 tahun (2019-2024) = 180 hari jumlah puasa yang perlu diqada’kan. 

Manakala kiraan fidyah, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor Bil. 1/2001 telah memutuskan bahawa:

Harus menggunakan 2 kaedah:

i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.

Berikut contoh cara pengiraan fidyah:

1) Kiraan dengan gandaan

Tahun 2019 (6 tahun x 30 hari x RM2 = 360)

Tahun 2020 (5 tahun x 30 hari x RM2 = 300)

Tahun 2021 (4 tahun x 30 hari x RM2 = RM240)

Tahun 2022 (3 tahun x 30 hari x RM2 = RM180)

Tahun 2023 (2 tahun x 30 hari x RM2) = RM120

Tahun 2024 (1 tahun x 30 hari x RM2 = RM60

Jumlah bayaran fidyah = RM1,260

2) Kiraan tanpa gandaan

Jumlahkan bilangan hari yang ditinggalkan puasa dari tahun 2019 hingga 2024 

30 hari x 6 tahun = 180 hari 

180 hari x RM2 = RM360 jumlah bayaran fidyah

Jadi, secara rumusan, puan hendaklah mengqada'kan puasa dengan jumlah hari yang dtinggalkan (180 hari) dan perlu membuat bayaran fidyah mengikut pilihan di atas sama ada hendak membayar mengikut kiraan dengan gandaan atau tanpa gandaan. Bayaran fidyah boleh dlaksanakan melalui transaksi atas talian menerusi laman sesawang berikut:

https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/fidyah/

Puan boleh membuat perbayaran secara beransur-ansur sekadar kemampuan tanpa mengabaikan tanggungjawab asasi anak-anak. Apa yang lebih utama adalah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image