Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam saya nak tanya. Sebelum ni suami sy telah menipu sy dengan mengakatan dia bujang dan sy telah menjadi isterinya. Dia cakap "sy sudah cerai aina talak 3" dan keluarga sudah maklum dia juga bercerita sudah cerai talak 3. Kemudian tiba2 mereka telah pergi ke pejabat majlis agama jeli kelantan, kata wanita itu talak tidak jatuh sbb dia tak lafaz talak 3 pada dia dan pada org lain(sy pon tak tahu kebeneran)
jd adakah sah pnikahan mreka?
Jawapan
Sekiranya seseorang lelaki (suami) mengatakan bahawa dirinya bujang, tidak berkahwin, tidak mempunyai isteri, atau telah berpisah dengan isteri, ia dianggap sebagai lafaz kinayah (kiasan) yang sekiranya suami berniat untuk menceraikan isterinya, maka penceraian atau talak boleh berlaku. Seandainya dia tidak berniat untuk menceraikan isterinya, maka penceraian tidak berlaku.
Persoalan seterusnya, seandainya seorang suami mengatakan dengan lafaz yang sorih atau jelas contohnya "saya telah ceraikan isteri saya" atau apabila ditanya adakah dia telah menceraikan isterinya lalu dia menjawab "ya saya telah ceraikan isteri saya", walaupun dia berbohong, maka pada pandangan Jumhur Ulama mengatakan dari segi zahir ataupun undang-undang talak boleh berlaku.
Memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.