Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Mufti. Semoga sihat selalu. Saya ingin bertanya mengenai faktor dan punca mimpi berulang yang saya alami. Oleh itu saya ringkaskan sedikit situasi mimpi tersebut.
Saya telah bermimpi mengenai seorang lelaki iaitu orang yang saya kenali juga. Mimpi tersebut berlaku selama beberapa tahun dan kekerapan mimpi itu sekurangnya saya akan bermimpi 1 atau dua kali seminggu. Situasi dalam mimpi tersebut saya ada berjumpa dengan dia di kedai, atau berada di kawasan yang sama, atau berjumpa di jalanan, atau terserempak di mana-mana. Dan dalam mimpi itu saya akan mengelakkan diri atau lari dari dia. Dia dalam mimpi itu kelihatan biasa-biasa, kami bercakap, atau dia marah kepada saya. Kerana saya telah mimpi daalm tempoh yang lama dan mimpi tersebut telah akibatkan saya menjadi tertekan, Justeru saya telah ambil keputusan untuk mesej dia dan minta maaf kalau ada kesalahan saya yang saya tidak sedar melukakan hati dia. Dia terima. Selepas itu dalam 2 bulan saya dah stop mimpi dia. Tapi kebelakangan ini mimpi itu kembali semula dan paling kerap saya mimpi 3 hari berturut-turut. Saya tidak pernah memikirkan dia atau melihat dia di mana-mana walau dalam sosial media. Keadaan ini menyebabkan saya tertekan dan tidak tahu bagaimana untuk mengelakkannya. Saya pernah berdoa untuk dipermudahkan urusan jodoh dan nama dia terlintas di hati saya. Tetapi saya berdoa supaya Allah lindungi dan jauhkan saya dari takdir itu. Saya bimbang kalau ini adalah gangguan jin dan saya takut kalau mimpi itu akan berterusan. Saya dalam dilema adakah saya perlu meminta maaf sekali lagi. Sedangkan kami tidak pernah bergaduh dan sudah hampir 10 tahun tidak pernah berjumpa. Situasi ini menyebabkan saya berasa tertekan dan bingung serta risau akan keadaan semasa saya. Terima kasih Mufti. Sekian. Assalamualaikum wbt.
Jawapan
Dalam Islam, ada mimpi baik dan ada mimpi buruk. Mimpi baik menatijahkan kebaikan dan mimpi buruk adalah alamat kepada keburukan. Mimpi buruk ini merupakan permainan daripada syaitan yang ingin menimbulkan rasa tidak tenteram dalam diri manusia.
Dalam satu hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa jika seseorang bermimpi sesuatu yang buruk meludah ke belah kirinya dan hendaklah membaca isti’azah. Daripada Abi Qatadah ra, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Mimpi yang baik itu adalah daripada Allah SWT, adapun mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya. (Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan kisah puan, maka abaikan mimpi tersebut kerana ia tidak membawa apa-apa erti, bahkan ia memberi kesan buruk sehingga tertekan atau stress sehingga merasakan ada perkara yang belum dilunaskan. Ada baiknya puan berjumpa dengan kaunselor yang bertauliah untuk mendapatkan khidmat nasihat atau merujuk dengan pakar agama yang boleh menafsir mimpi tersebut. Sedangkan mimpi ini hanya mainan syaitan yang hanya untuk menyesatkan manusia.
Sekian, terima kasih.