BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

1.Bagaimana seorang perempuan melaksanakan puasa qada setelah mandi wajib, dan semasa dia melakukan aktiviti dia tiba – tiba terfikir masa dia mandi wajib tu dia telah ratakan atau tidak pada bahagian dagu, tapi dia ingat yang semasa dia membasuh bahagian kepala dan telinga air tersebut mengalir kena pada bahagian dagu tersebut, adakah ini dipanggil was – was atau bagaimana, menyebabkan dia putus asa untuk melakukan ibadah disebabkan dia sebenarnya telah meratakan atau tidak meratakan air tersebut semasa mandi?

2. Hampir sama dengan soalan (1).

Bagaimana seseorang itu semasa mandi wajib dia dah alirkan air ke seluruh anggota badan dan terlupa untuk meratakan air atau telah meratakan air tersebut pada anggota  tersebut dan perkara ini telah disedarinya setelah dia sedang melakukan aktiviti.

 

Saya menghadapi masalah ini dan saya telah cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan mandi wajib tersebut tapi bila diulang mandi wajib tersebut saya semakin tidak yakin. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Penyakit was-was adalah mainan syaitan yang mana ia mendorong manusia agar melakukan kejahatan dan sering mendatangkan keraguan. Daripada Abdullah Ibn Mas'ud bahawa Nabi SAW bersabda :

إنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ، وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ، فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ، وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ، وَأَمَّا لَمَّةُ المَلَكِ، فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ، وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya : Syaitan itu adalah pendorong dan malaikat adalah pendorong. Syaitan sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan dan membohongi perkara yang benar. Adapun malaikat sentiasa mendorong untuk melakukan kebaikan dan membenarkan perkara yang betul. Barangsiapa yang mendapati dorongan melakukan kebaikan maka ketahuilah itu adalah dari Allah dan pujilah Allah. Barangsiapa yang mendapati dorongan selain dari itu maka mintalah perlindungan pada Allah daripada syaitan yang direjam. (Riwayat Al-Tirmizi)

Oleh itu, ratakanlah semua anggota badan ketika mandi wajib dan yakinilah proses tersebut agar tidak berlaku keraguan yang mendalam. Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, katanya:

كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ  

Maksudnya: Nabi SAW apabila mandi junub, akan memulainya dengan mencuci kedua telapak tangannya. Kemudian Baginda berwudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat. Seterusnya Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menggosokkannya ke kulit kepalanya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepalanya dengan kedua telapak tangannya sebanyak tiga kali, kemudian Baginda mengalirkan (meratakan) air ke seluruh tubuhnya. (Riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis di atas dapat difahami adalah Rasulullah SAW mandi wajib dengan munggunakan air yang sangat minima. Oleh itu, yakinlah bahawa air telah dilalukan keseluruh anggota badan dan abaikan was-was yang berlaku. Air bersifat cecair yang secara semulajadi akan merata keseluruh anggota sebaik disiram dari kepala, disebabkan sifatnya mengalir maka Rasulullah SAW hanya menyiram beberapa kali sahaja untuk meratakan air ke seluruh badan Baginda selepas mengambil wuduk sepertimana wuduk untuk bersolat.

Ia bertepatan dengan kaedah fiqah :

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan dengan keraguan.

Bermaksud sesuatu perkara yang sudah diyakini, apabila timbul keraguan selepas itu tidak akan menjejaskan keyakinan yang ada. Ini bermakna adalah sebaiknya puan menghilangkan perasaan was-was tersebut kerana ia hanyalah perbuatan syaitan yang ingin membolak-balikkan hati manusia. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image