Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada bergaduh dengan suami. Ketika ingin berbaik suami ada mengatakan dia akan ikut apa kehendak saya jika dia melakukan masaalah yang sama. Saya terus bersetuju dia saya telah taip di whatapps syarat yang dia kena patuhi andai kata dia melanggar syarat saya maka jatuh la talak ke atas saya. Dah saya telah menulis talak 3. Soalan saya adakah takliq ini boleh di gunakan sebab saya yang mintak dan suami membalas dengan perkataan baik lah saya terima.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, urusan berkaitan talak yang menggunakan perantara seperti telefon dan aplikasinya, faks, surat atau email adalah dikategorikan sebagai talak secara kinayah. Iaitu sekiranya suami berniat cerai, maka taklik talak berlaku. Namun jika suami tidak berniat cerai, maka taklik talak tidak berlaku. Justeru, perkara ini hanya boleh diputuskan melalui pihak Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa mengesahkannya.
Sehubungan itu, perkara ini hendaklah dilaporkan terus ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk tindakan selanjutnya.
Puan juga boleh merujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor seperti link berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/25/hukum-cerai-melalui-sms/
Sekian, terima kasih.