Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Cik/Tuan/Puan,
1) Saya nk bertanya, kalau sebelum cukup 15 hari haid, keluar keputihan, kemudian keluar pula kekuningan sama ada pd hari yg sama atau pd hari yg berbeza, (SEBELUM CUKUP 15 hari haid) adakah ia adalah keputihan yg wajib solat?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, yang dimaksudkan dengan warna kuning (al-Sufrah) iaitu sesuatu warna seakan-akan warna nanah dan yang dimaksudkan dengan warna keruh (al-Kudrah) ialah sesuatu warna yang suram (kuning keputih-putihan). Kedua-dua warna ini bukan warna darah. Terdapat perbahasan ulama mengenai kedua-dua warna ini seperti berikut:
Pendapat yang sahih dalam kalangan mazhab Shafi’i menyatakan warna kuning dan keruh dianggap sebagai haid jika kedatangannya ialah pada masa kebiasaan haid dan tidak melebihi tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam. sebaliknya jika bukan masa kebiasaan datang haid, maka ia dianggap bukan haid.
Jumhur Ulama mengatakan bahawa cecair kuning dan keruh itu tidak dianggap haid apabila kedatangannya bukan pada waktu haid.
Ia berdasarkan kepada hadis saidatina A’ishah RA yang dinukilkan daripada kitab hadis al-Bukhari dan Muwatta’ Imam Malik:
Maksudnya: Pada masa itu ada wanita-wanita yang menghantar kepadanya perca kain yang mengandungi kapas di dalamnya (iaitu tuala wanita) yang terdapat kesan darah haid (warna kuning) lalu bertanya, adakah mereka (dikira sudah suci) boleh menunaikan solat? Maka jawabnya: Janganlah tergesa-gesa bersuci sehingga dia (seorang wanita) melihat kapas yang putih.
Sekian, terima kasih.