BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya mempunyai penyakit keputihan yang agak kritikal di mana cecair keputihan sentiasa keluar sepanjang hari dalam kuantiti yang banyak sehingga menganggu ibadah puasa dan solat. 

Saya tidak menggunakan panty liner, tetapi menggunakan menstrual cup sebagai penampung keputihan kerana lebih mudah dan menjimatkan kos. 

Dalam situasi saya ini, adakah solat saya dan puasa saya sah jika saya memakai mens cup untuk keputihan yang tidak dapat dielakkan kerana agak teruk. Hal ini sangat menggangu kerana saya sentiasa was was dengan ibadah saya pada masa yang sama saya runsing dengan cara menanganinya. Mohon penjelasan 


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan yang diajukan, perlu dijelaskan di sini bahawa menurut mazhab al-Shafii, bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib adalah pada had zahir faraj; iaitu kawasan yang terzahir sekiranya duduk dalam keadaan mencangkung. Manakala had batin faraj ialah apa yang sebaliknya.

Terdapat perbahasan dalam bab puasa daripada kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

فالذي يظهر من فرجها إذا قعدت لقضاء الحاجة له حكم الظاهر فيلزمها تطهيره ولا يلزمها مجاورته فإن جاوزته بإدخال أصبعها زيادة عليه بطل صومها 

Maksudnya: Maka bahagian faraj yang zahir ialah bahagian yang dapat dilihat apabila dia duduk (mencangkung) ketika membuang air, maka hendaklah dia membersihkannya dan jangan melebihi had tersebut. Sekiranya dia melepasi had tersebut dengan memasukkan jarinya (untuk membersihkannya), maka puasanya terbatal.

Oleh yang demikian, didapati kedudukan pangkal menstrual cup telah memasuki had batin faraj wanita yang boleh menyebabkan batal puasa sekiranya dimasukkan di siang hari puasa, manakala bahagian hujung menstrual cup yang merupakan kawasan takungan darah kekal berada di had zahir faraj wanita. Oleh itu, penggunaan menstrual cup dianggap sebagai menanggung najis  kerana kedudukan darah ataupun keputihan tersebut berada pada had yang wajib dibersihkan. Dalam konteks berpuasa adalah tidak digalakkan untuk memakai menstrual cup. Ini kerana akan mengganggu proses penyucian bilamana hendak solat. Proses membuka dan memasang semula menstrual cup itu sendiri akan membatalkan puasa kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan melalui saluran terbuka (faraj). Membersihkan diri merupakan syarat sah solat. Justeru, tidak sah solat wanita yang memakai menstrual cup tanpa membersihkannya terlebih dahulu. Dicadangkan agar saudari tidak memakai menstrual cup semasa berpuasa tetapi memakai pad adalah lebih baik.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image