Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah, nak tanya berkaitan haid. Saya dah buat research pasal benda ni tapi still confuse. Macam ni, kitaran suci tak cukup lagi 15 hari tapi dah period lagi. Confuse sama ada tu darah istihadah atau darah haid sebabnya dia punya warna dan bau macam darah haid and banyak. Yang saya musykil is tu darah haid ke darah istihadah? Ke even dia punya warna and bau macam darah period tapi kalau tak cukup kitaran suci 15 hari tu jadi automatik darah istihadah ye ustaz/ustazah?
Jawapan
Setelah diteliti butiran yang diberikan oleh puan melalui perbualan telefon pada 5 Mac 2025, didapati tempoh kebiasaan haid (adat) puan adalah 8 hari iaitu pada bulan Disember dan Januari), Namun jumlah hari darah keluar pada bulan Februari 2025 adalah 13 hari iaitu pada 5 Februari 2025 sehingga 17 Februari 2025 pada waktu zohor. Bulan seterusnya Mac 2025 iaitu pada 3 Mac 2025 pada waktu subuh, darah keluar dengan sifat darah berwarna hitam, kental dan berbau. Namun persoalannya adakah darah yang keluar pada 3 Mac 2025 merupakan darah haid atau istihadhah kerana tempoh suci kurang dari 15 hari iaitu 13 hari.
Dalam permasalahan ini, puan dikategorikan sebagai wanita mustahadah dalam kumpulan Mu’tadah Ghair Mumayyizah iaitu wanita yang pernah mengalami haid dan suci iaitu mempunyai tempoh kebiasaan haid tetapi tidak mampu membezakan warna darah mengikut kepada sifat darah kecuali darah pada 3 Mac 2025 iaitu hitam, kental dan berbau. Maka dapat disimpulkan penyelesaiannya adalah dengan mengikut kaedah tempoh kebiasaan haid iaitu 8 hari.
Maka, darah yang keluar pada 5 Februari 2025 sehingga 12 Februari 2025 dengan kiraan 8 hari adalah darah haid. Manakala selebihnya adalah darah istihadhah iaitu mengikut hukum asal diwajibkan untuk mengerjakan solat.
Kesimpulannya, darah yang keluar pada 3 Mac 2025 adalah darah haid kerana tempoh suci lebih 15 hari iaitu dari 13 Februari sehingga 2 Mac 2025. Justeru itu, puan wajib mengqadha’ solat yang telah ditinggalkan pada tempoh darah istihadhah keluar pada bulan Februari 2025 yang lalu.
Sekian, terima kasih.