BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya. Selama saya solat berbelas tahun, saya tersilap bacaan dalam sujud sepatutnya subhana rabbiyal a'la wabihamdih tapi saya baca subhana rabbiyal a'la iwabihamdih. Adakah sah solat saya? Saya bimbang jika solat saya tidak sah dan perlu menggantikan semua solat saya sepanjang saya hidup. Terima kasih ustaz. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Secara umumnya, perbuatan dalam solat boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar:

1) Rukun: Yang perlu dilakukan secara sempurna dari permulaan solat hingga ke penghujungnya secara tertib. Jika ditinggalkan dengan sengaja, maka solat akan terbatal, jika ditinggalkan kerena terlupa, maka dia perlu kembali melakukan rukun yang ditinggalkan atau menambah bilangan rakaat bergantung kepada situasi.

2) Sunat Ab'adh: Perbuatan sunat dalam solat yang mana jika ditinggalkan tidak membatalkan solat, tetapi disunatkan melakukan sujud sahwi bagi menampung kekurangan tersebut.

3) Sunat Haiat: Perbuatan sunat dalam solat yang mana jika ditinggalkan tidak membatalakan solat dan tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Bacaan tasbih ketika sujud termasuk dalam kategori Sunat Haiat. Oleh itu, jika ditinggalkan atau berlaku sedikit kesilapan padanya, tidak akan memberi kesan status sah atau tidak solat yang dilakukan dan kesilapan tersebut juga tidak mengubah makna tasbih yang dibaca. Bukan setakat itu, bahkan kita digalakkan untuk memperbanykkan doa ketika sujud berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ العَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعاءَ

Maksudnya: Keadaan seorang hamba berada paling hampir dengan Tuhannya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa (ketika sujud)

(Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 13

message user image